KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menyambut baik kerjasama strategik dengan sektor swasta bagi memastikan kawasan hijau yang diwartakan di Kuala Lumpur kekal ceria, relevan dan digunakan orang ramai.
Beliau berkata walaupun kerajaan terus menambah bilangan pewartaan kawasan hijau, ia masih tidak mencukupi sekiranya tidak digunakan secara aktif oleh masyarakat.
“Tiada gunanya mewartakan kawasan hijau jika tiada sesiapa menggunakannya, maka di sinilah kerjasama dengan sektor swasta menjadi penting untuk mewujudkan acara dan program,” katanya.
Hannah berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan CIMB Bank Bhd di bawah inisiatif “Moving KL Forward - Kita Bagi Jadi”, di sini hari ini.
Semalam, Hannah mengumumkan pewartaan 45 lagi kawasan hijau dan lapang di Kuala Lumpur, menjadikan jumlah keseluruhan kawasan yang diwartakan sebanyak 539.
Beliau berkata kemudahan taman juga perlu memenuhi keperluan pelbagai kumpulan, termasuk kanak-kanak berkeperluan khas dan warga emas, khususnya ketika Malaysia menuju ke arah penduduk menua.
Sementara itu, mengenai kritikan terhadap inisiatif “Bangun KL”, Hannah berkata ia ialah inisiatif oleh ZUS Coffee yang bertujuan menarik peminat kopi.
“Kami menerima inisiatif itu kerana jika anda bangun awal dan menikmati kopi, maka anda akan mendapat diskaun. Itu sahaja,” katanya sambil menambah bahawa Jabatan Wilayah Persekutuan menyambut baik kerjasama sektor swasta untuk manfaat rakyat.
Pada 9 April, Hannah berkata inisiatif 'Bangun KL: Ke Arah Kuala Lumpur Yang Lebih Sejahtera' bertujuan menggalakkan orang ramai memasuki ibu kota lebih awal sekali gus mengurangkan kesesakan trafik pada waktu puncak.
Program itu menerima kritikan meluas, khususnya dalam kalangan pengguna media sosial, kerana dilihat hanya sebagai pendekatan “pemasaran” yang tidak menangani masalah kesesakan lalu lintas di ibu negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial