Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Inisiatif Lupus Kenderaan Tersadai Bantu Atasi Isu Parkir Di Lembah Pantai - Fahmi

16/04/2026 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Langkah melupuskan kenderaan buruk dan tersadai secara sukarela di kawasan perumahan awam (PA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) dilihat dapat membantu mengurangkan masalah kekurangan parkir dan kesesakan lalu lintas khususnya di kawasan padat seperti Lembah Pantai.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata inisiatif dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama syarikat Car Medic Sdn Bhd itu antara usaha menangani isu kenderaan tersadai yang telah lama dibangkitkan penduduk di ibu negara.

“Di Lembah Pantai sahaja, saya sering mendapat aduan berkaitan kenderaan yang tidak lagi digunakan sehingga menyebabkan masalah parkir dan kesesakan lalu lintas.

Ad Banner

"Kawasan perumahan yang mempunyai perbadanan pengurusan merupakan kawasan milik persendirian, justeru beberapa perkara perlu diselaraskan bagi membantu proses pelupusan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Pelupusan Kenderaan Buruk/Tersadai Secara Sukarela di kawasan PPR Pantai Ria, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan.

Fahmi berkata jumlah kenderaan tersadai di satu-satu kawasan boleh mencecah antara 100 hingga 150 buah, manakala di sesetengah lokasi seperti Pangsapuri Pantai Permai, angka itu dianggarkan sekitar 120 kenderaan termasuk motosikal.

Keadaan itu, beliau berkata bukan sahaja menjejaskan kelancaran trafik, malah menimbulkan risiko kesihatan apabila kenderaan terbengkalai menjadi tempat pembiakan tikus dan nyamuk.

Fahmi berkata pelaksanaan program pelupusan secara sukarela itu dijangka memudahkan pemilik melupuskan kenderaan secara sah, sekali gus mengurangkan jumlah kenderaan tidak digunakan yang memenuhi ruang parkir.

Mengulas cadangan penduduk untuk membina parkir bertingkat atau menambah kawasan parkir, beliau berkata pelbagai faktor perlu dipertimbangkan termasuk usaha mengoptimumkan ruang sedia ada dengan mengurangkan kenderaan tersadai.

“Kita juga meneliti cadangan laluan alternatif, namun pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak bersetuju kerana lokasi terlalu hampir dengan tebing sungai. Justeru, keutamaan ketika ini adalah mengurangkan kenderaan dalam kawasan parkir supaya parkir di luar juga dapat dikurangkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membangkitkan isu kesesakan di kawasan sekolah sekitar Lembah Pantai dan mencadangkan agar keutamaan diberikan kepada pelajar tempatan bagi mengurangkan jumlah kenderaan keluar masuk.

Sementara itu, Hannah berkata masalah kenderaan tersadai merupakan isu bersama yang dihadapi semua Ahli Parlimen di Kuala Lumpur dan berharap lebih ramai tampil menyertai program pelupusan secara sukarela.

“Ini antara usaha pembaharuan yang dilaksanakan dan saya berharap ia dapat dipertingkatkan lagi bagi memastikan kesejahteraan penduduk terus terpelihara,” katanya.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan lebih 4,500 tindakan tunda atau angkut dilaksanakan bagi tempoh 2022 hingga 2025 hasil daripada lebih 9,600 aduan awam berkaitan kenderaan tersadai. Tahun ini, sebanyak 768 kenderaan pelbagai jenis telah dilupuskan setakat awal April.

Bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, DBKL melantik Car Medic Sdn Bhd untuk mengendalikan kerja tunda, logistik, penyimpanan dan pelupusan secara lestari termasuk pelaksanaan program pelupusan sukarela di kawasan perumahan awam dan strata.

Melalui program itu, pemilik kenderaan ditawarkan ganjaran tunai antara RM100 hingga RM2,000 mengikut jenis dan keadaan kenderaan, selain proses pembatalan pendaftaran yang dipermudah melalui sistem e-Dereg.

DBKL turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan termasuk tunda atau angkut serta pelupusan akan diambil sekiranya pemilik gagal mengambil langkah secara sukarela dalam tempoh ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan