Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Fahmi, Zulkifli Adakan Perbincangan Kenal Pasti Saluran Sampaikan Maklumat Kepada Jemaah Haji

16/04/2026 03:59 PM

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil akan mengadakan perbincangan teknikal dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan bagi membincangkan saluran tepat menyampaikan maklumat berkaitan krisis Asia Barat kepada bakal jemaah haji.

Fahmi berkata langkah itu penting supaya sebarang maklumat, khususnya disampaikan oleh pihak Tabung Haji (TH) dapat disalurkan segera bagi menangani sebarang isu yang mungkin timbul.

“Kerajaan memahami kebimbangan sesetengah pihak susulan ketidaktentuan situasi geopolitik semasa, termasuk konflik Asia Barat yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Iran,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.

Ad Banner

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Dalam pada itu, Fahmi berkata Zulkifli telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa keadaan ketika ini masih selamat untuk jemaah haji Malaysia menunaikan rukun Islam kelima di Tanah Suci.

"Sekiranya ada mana-mana pihak yang dapat peluang untuk mengerjakan haji tetapi risau, saya sarankan untuk berhubung dengan pihak TH bagi mendapatkan maklumat sewajarnya," kata beliau.

Ad Banner

Zulkifli sebelum ini dilaporkan berkata keselamatan petugas dan jemaah haji Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, khususnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan susulan perkembangan geopolitik di Asia Barat.

Beliau turut dilaporkan menyuarakan keyakinan terhadap keupayaan dan pengalaman petugas haji TH dalam menguruskan operasi haji, sekali gus memastikan kebajikan 31,600 jemaah haji Malaysia.

Penerbangan pertama jemaah Malaysia bagi musim haji 1447H/2026M dijadualkan bermula pada 18 April ini, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan