ALOR SETAR, 16 April (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyarankan pesawah mengoptimumkan penggunaan air hujan di sawah masing-masing susulan paras takungan empangan yang masih belum mencukupi.
MADA dalam kenyataan memaklumkan pihaknya kini memantau rapi perkembangan aktiviti penanaman padi bagi Musim 1/2026 berikutan perubahan cuaca yang mula menunjukkan tanda positif di lapangan.
“Berdasarkan rekod setakat semalam, purata taburan hujan di seluruh Kawasan Muda mencatatkan sebanyak 122 milimeter (mm).
“Perkembangan ini menjadikan kaedah Tabur Terus Kering (TTK) yang disyorkan sebelum ini tidak lagi relevan untuk diteruskan, memandangkan keadaan tanah kini mula menerima bekalan air hujan yang mencukupi bagi memulakan fasa penanaman seterusnya,” menurut kenyataan itu hari ini.
Bagaimanapun, MADA menegaskan kedudukan takungan di tiga empangan utama iaitu Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning masih rendah serta belum mencapai kapasiti selesa untuk menyokong pengairan tanaman padi sepenuhnya.
Menurut MADA, sehingga hari ini, jumlah keseluruhan takungan di ketiga-tiga empangan tersebut bersamaan 39.22 peratus dan berikutan jumlah takungan yang masih di bawah 40 peratus, pelepasan air dari empangan adalah khusus bagi kegunaan domestik sahaja.
“Memandangkan MADA tidak dapat membekalkan sokongan air pengairan dari empangan buat masa ini, para pesawah disarankan untuk beralih semula kepada kaedah penanaman Tabur Terus Dalam Air atau Tabur Terus Basah dengan memanfaatkan sepenuhnya sumber air hujan sedia ada di lapangan.
“Selain itu, pesawah turut digesa mengurus air secara berhemat dengan menyelenggara batas sawah, memastikan air hujan dapat ditakung secara efektif serta mempertingkat pemantauan pintu air bagi mengelak pembaziran,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial