Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

J&T Express Malaysia Bina Pusat Pengisihan Berpacukan Teknologi Terbesar Di Malaysia

16/04/2026 06:01 PM

SHAH ALAM, 16 April (Bernama) -- J&T Express Malaysia mencatat satu pencapaian penting dengan mengadakan majlis pecah tanah bagi pusat pengisihan milik mereka sendiri terbesar di Malaysia, yang terletak di IJM Rimbayu, semalam.

Syarikat kurier itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa projek berkenaan mencerminkan usaha berterusan syarikat, untuk memperkukuh infrastruktur logistik Malaysia dalam menyokong pertumbuhan industri pada masa hadapan, selain mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan kepada komuniti tempatan.

Dibangunkan di atas tapak milik penuh seluas 30 ekar dengan jumlah pelaburan melebihi RM300 juta, kemudahan baharu yang dikenali sebagai “The Hub” itu, dibangunkan secara strategik bagi menyokong perkembangan berterusan sektor kurier dan e-dagang di Malaysia.

Ad Banner

“Kemudahan ini akan menggabungkan automasi canggih dan sistem logistik pintar bagi meningkatkan keselamatan bungkusan, memperbaiki ketepatan pengisihan serta meningkatkan kecekapan operasi secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.

Naib Presiden J&T Express Malaysia Vincent Low berkata The Hub bukan sekadar projek infrastruktur, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap pertumbuhan masa depan, kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai jangka panjang.

Beliau berkata kemudahan tersebut dijangka dapat mengurangkan tempoh penghantaran sekitar 15 peratus serta mampu menyokong sehingga 4 juta bungkusan sehari, sekali gus menyumbang kepada sasaran jangka panjang syarikat untuk mencapai 10 juta penghantaran di seluruh negara.

“Kami ingin memberi jaminan kepada rakan niaga bahawa J&T sentiasa berkembang, semakin kukuh dan bersedia untuk merebut peluang pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan perasmian pada majlis pecah tanah itu yang turut dihadiri wakil daripada rakan projek utama serta perunding.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Awam dan Penjenamaan J&T Express Malaysia Steve Yap berkata projek tersebut berperanan dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam ekosistem logistik.

“The Hub akan berfungsi sebagai tulang belakang logistik utama bagi operasi J&T di Lembah Klang, menyokong keperluan 96 rakan niaga dan 135 cawangan. Pembangunan ini membolehkan kami menyumbang secara bermakna kepada kemajuan industri logistik Malaysia,” katanya.

Sejak memasuki pasaran Malaysia pada 2018, J&T Express Malaysia telah memperluas rangkaian logistiknya secara berterusan, dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan berfokuskan pelanggan, termasuk Cash on Delivery (COD), Delivery Fee on Delivery (DFOD) dan Next Day Delivery (NDD).

Selain itu, J&T Express turut menyediakan J&T Super, iaitu perkhidmatan kurier premium yang direka untuk penghantaran lebih pantas dengan keutamaan pengendalian, selain integrasi VIP percuma, pemprosesan tuntutan yang dipercepat, penjejakan masa nyata serta perkhidmatan kutipan percuma tanpa kuantiti minimum melalui aplikasi J&T Malaysia.

Kini, syarikat itu mengendalikan lebih 1,400 pusat pengambilan sendiri dan serahan, 10 pusat pengisihan, serta disokong oleh tenaga kerja melebihi 35,000 pekerja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan