Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM Australia Berlepas Pulang, Akhiri Lawatan Rasmi Ke Malaysia

16/04/2026 10:45 PM

SUBANG, 16 April (Bernama) -- Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berlepas pulang malam ini selepas mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia.

Albanese diberikan upacara pelepasan permaidani merah dan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang dipimpin oleh Kapten Muhammad Nafis Norshid.

Pesawat khas yang membawa Albanese dan delegasinya berlepas ke Australia dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di sini pada 8.30 malam. 

Ad Banner

Yang turut hadir untuk mengucapkan selamat jalan ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Albanese tiba di Malaysia semalam dan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya hari ini diikuti pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mesyuarat dua hala membabitkan menteri kanan serta pegawai kedua-dua negara.

Susulan mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangkumi bidang kepentingan bersama.

Albanese turut melawat Menara Berkembar Petronas dan mengadakan perbincangan dengan Arthur serta Ketua Pegawai Operasi Petronas Mohd Jukris Abdul Wahab.

Australia merupakan rakan ekonomi penting bagi Malaysia, berada di kedudukan ke-12 sebagai rakan dagang terbesar negara pada 2025, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (USD18.38 bilion).

Malaysia dan Australia telah meningkatkan hubungan mereka kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada 2021, bagi mengembangkan lagi kerjasama merentasi tiga tonggak utama: kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi, serta pertahanan dan keselamatan serantau.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan