Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pelajar Tingkatan Dua Diiktiraf MBOR Berjaya Hafal 300 Digit Nombor Pi

19/04/2026 09:20 PM

GEORGE TOWN, 19 April (Bernama) -- Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun K Poonyamitra mencipta nama dalam Malaysia Book of Records baru-baru ini, apabila berjaya menghafal dan menyebut semula 300 digit pertama nombor Pi.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) St. George itu mencatat pencapaian berkenaan pada 9 Feb lepas, sekali gus melayakkannya menerima pengiktirafan Most Pi Recited From Memory By A Teenager.

Poonyamitra berkata kejayaan itu hasil latihan konsisten selama dua bulan dan dia menetapkan sasaran harian untuk menghafal sekurang-kurangnya 10 digit dan memastikan matlamat tersebut dicapai setiap hari.

Ad Banner

“Saya bangun setiap hari dan tetapkan target sendiri, contohnya hari ini saya perlu hafal 10 digit dan saya pastikan saya mencapainya dalam masa sama ia adalah bagi mengekalkan ingatan.

"Nombor Pi yang dihafal bermula dengan turutan sa, puluh, ratus, ribu dan diteruskan secara berterusan hingga mencapai 300 digit, mula-mula memang susah tapi apabila mula menghafal jadi saya lebih mudah ingat nombor-nombor tersebut," katanya kepada Bernama hari ini.

Poonyamitra ditemui pada Pelancaran Pendigitalan Sistem Pengurusan di Kuil-Kuil Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHPP) 2026 di Kuil Sri Kunj Bihari di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo dan turut hadir Pengerusi LWHPP RSN Rayer.

Pada majlis itu, Poonyamitra menerima komputer dan sijil pencapaian atas pengiktirafan mencipta nama dalam Malaysia Book of Records oleh LWHPP.

Poonyamitra berkata minat terhadap nombor dan matematik menjadi pendorong utama untuk mencuba sesuatu yang mencabar sekali gus membolehkannya mencatat rekod sebagai yang pertama di Malaysia dalam kategori tersebut.

Beliau yang juga anak tunggal berharap pencapaiannya itu dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk berani mencabar diri dalam bidang diminati khususnya berkaitan matematik dan hafalan.

Sementara itu, ibu murid berkenaan S Thilagam berkata anaknya pernah juga menang kategori Memory Athlete dalam pertandingan Malaysia Kids Got Talent musim kesembilan pada 2025 selepas berjaya menghafal 300 digit pertama Pi.

Selain itu, katanya Poonyamitra turut meraih naib juara dalam acara ASEAN World Records Rising Starz Icon 2025, yang mencatatkan penyertaan 100 peserta bagi satu acara pertandingan bakat.

"Dia juga melangkah ke peringkat antarabangsa apabila menyertai sesi uji bakat secara dalam talian bagi rancangan America’s Got Talent (AGT) Musim Ke-21 pada 11 Jan lepas dengan mempersembahkan kebolehan menghafal dan menyebut semula 300 digit pertama nombor Pi," katanya yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada Poonyamitra. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan