MELAKA, 17 April (Bernama) -- Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Melaka akan bermula hari ini hingga 15 Sept depan.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata lebih 12,000 penyertaan disasar bagi pertandingan kali ketujuh ini yang melibatkan lima kategori iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Institut Pengajian Tinggi (IPT), Bukan Melayu dan Awam.
Beliau berkata pertandingan pidato bertema “Bersama Membina Negara Bangsa” itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia di dalam dan luar Melaka.
"Pada tahun lepas, pertandingan pidato ini menerima sebanyak 9,331 penyertaan melibatkan lima kategori dengan 5,673 orang adalah kategori Sekolah Rendah, Sekolah Menengah (1,916), Awam (1,153), IPT (298) dan Bukan Melayu (291).
"Pada tahun ini, kita bukan sahaja berharap penyertaan keseluruhan meningkat melebihi 12,000 orang tetapi juga bagi jumlah penyertaan kategori IPT dan Bukan Melayu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka Intan Suhana Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP) Prof Madya Dr Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.
Ngwe berkata masyarakat Orang Asli juga dipelawa untuk turut serta dalam pertandingan berkenaan yang bertujuan mendidik dan menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Beliau berkata pendaftaran dan penghantaran video pidato berkenaan dibuka bermula hari ini hingga 31 Julai manakala proses penjurian pula akan bermula 1 hingga 31 Ogos dan pentas akhir pada 15 Sept di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini.
"Pendaftaran penyertaan boleh dilakukan di laman sesawang rasmi pertandingan pidato berkenaan menerusi pautan https://pidatotyt.melaka.gov.my/.
"Anugerah khas seperti Persembahan Terbaik, Anugerah Khas Juri dan Piala Menteri Perpaduan dikekalkan seperti pada penganjuran tahun sebelum ini," katanya.
Beliau berkata bagi semua kategori, johan akan membawa pulang wang tunai RM3,000, naib johan (RM2,000), tempat ketiga (RM1,000) dan sagu hati sebanyak RM500 untuk tempat keempat dan kelima berserta piala, buku dan sijil.
Pertandingan pidato berkenaan, katanya diharap dapat menyumbang kepada matlamat besar Malaysia MADANI seiring usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membina negara yang bersatu, stabil dan harmoni.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial