JASIN, 16 Jun (Bernama) -- Kerajaan Melaka bercadang membina lebih banyak rumah transit di negeri ini dalam usaha memastikan golongan memerlukan mendapat tempat perlindungan sementara yang selesa dan selamat.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata ketika ini hanya sebuah rumah transit disediakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), namun kapasiti sedia ada dilihat tidak lagi mencukupi berikutan peningkatan permintaan daripada individu dan keluarga yang memerlukan bantuan berkenaan.
“Kadang-kadang kita menerima kes orang tinggal dalam kereta, menumpang di sana sini atau tinggal di bawah jambatan kerana tidak mampu menyewa rumah.
“Jadi rumah transit ini diwujudkan sebagai tempat perlindungan sementara untuk mereka. Mereka tidak perlu membayar apa-apa dan boleh tinggal sehingga tiga bulan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada 30 asnaf di Rumah Transit Asnaf JPKK Serkam dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ISP Group, di Kampung Serkam, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kerjasama syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang berhasrat menyumbang bagi memperluas inisiatif rumah transit di Melaka.
Beliau berkata tanah kerajaan yang tidak digunakan boleh dimanfaatkan bagi tujuan tersebut sekiranya ada pihak bersedia menyalurkan dana bagi pembinaan rumah transit baharu.
Dr Muhamad Akmal berkata sepanjang tempoh penghuni berada di rumah transit tersebut pelbagai usaha akan dilakukan bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan serta menstabilkan kehidupan sebelum berpindah ke kediaman yang lebih sesuai.
“Kita bukan sekadar beri tempat tinggal sementara, tetapi membantu mereka bangkit semula dan bila keadaan mereka sudah stabil, kita akan tempatkan keluarga lain yang memerlukan.
“Konsep rumah transit ini bukan untuk didiami selamanya, tetapi sebagai jambatan sementara untuk mereka kembali berdikari,” katanya.
Mengenai Rumah Transit Asnaf JPKK Serkam, beliau berkata setakat ini lima unit rumah telah dibina hasil kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Serkam Darat bersama beberapa pihak lain dan jumlah itu dijangka meningkat kepada enam unit dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial