SHAH ALAM, 19 April (Bernama) -- Malaysia kini mempunyai 19 loji pengeluaran biodiesel yang berkapasiti menghasilkan kira-kira 1.5 juta liter sebulan, sekali gus berpotensi menjadi sumber tenaga alternatif baharu di tengah-tengah krisis tenaga global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif pengeluaran biodiesel itu telah dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) melalui kerjasama antara agensi kerajaan dan syarikat swasta dalam sektor perladangan.
“Kini terdapat 19 loji pengeluaran biodiesel sama ada B15 hingga B50. Dan kita akan gunakan sludge (enap cemar) ataupun by-product yang mengeluarkan CPO (minyak sawit mentah) yang mana terdapat 35 peratus sludge akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengeluarkan biodiesel dan juga jet A1.
“Ini telah dimulakan dan MTEN pada dasarnya telah menerima saranan itu. Dan kita akan selaraskan dengan badan dan syarikat yang berkenaan. Kita mahu lihat supaya kos pengeluarannya rendah bila terdapat sinergi yang dilakukan bersama-sama dengan 19 loji itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pasar raya Rissmart Grocer di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Manndzri Nasib.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata kerajaan menjangkakan pengeluaran secara besar-besaran mampu merendahkan kos operasi, seterusnya menurunkan harga keseluruhan bahan api berkenaan.
Beliau berkata biodiesel juga telah melalui ujian keupayaan untuk digunakan oleh kenderaan dan diyakini berpotensi menstabilkan serta menurunkan harga diesel dalam jangka panjang.
“Kita telah melakukan ujian pilot testnya... dan Petronas juga telah melakukan ujian terhadap diesel ini. Kita juga bekerjasama dengan beberapa syarikat pengeluar kenderaan untuk menguji kesesuaian dan biodiesel ini bagi kenderaan keseluruhan yang dikeluarkan di negara kita,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial