Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hampir 90 Peratus Rumah Di Kampung Kami Musnah Terbakar - Ketua Kampung Bahagia

19/04/2026 05:52 PM

SANDAKAN, 19 April (Bernama) -- Ketua Kampung Bahagia Sharif Hassim Sharif Titing, tidak mampu menyembunyikan kesedihannya ketika merenung sisa runtuhan yang masih berasap selepas hampir 90 peratus kediaman di kampung berkenaan musnah dijilat api, mengakibatkan penduduk kehilangan tempat berteduh yang menjadi syurga mereka.

Beliau berkata tragedi pada 1 pagi di perkampungan atas air itu, merampas segalanya dalam sekelip mata malah beliau turut kehilangan rumahnya sendiri, dan menyifatkan bencana kali ini sebagai yang paling dahsyat dalam sejarah kampung berkenaan.

Berbanding insiden kebakaran pada 1993 yang memusnahkan kira-kira 30 peratus kawasan dan 10 peratus lagi pada 2021, musibah awal pagi tadi, menurut Sharif Hassim telah mengakibatkan kemusnahan besar apabila kira-kira 1,000 daripada 1,200 buah rumah di Lorong A dan B kampung itu musnah terbakar, manakala sebilangan kecil di Lorong C.

Ad Banner

"Dikhabarkan api bermula akibat kerja memasak nasi. Tengoklah keadaan di tiga lorong ini...semuanya habis," katanya kepada Bernama, berkongsi penderitaan penduduk yang kini hilang tempat bergantung dantinggal sehelai sepinggang.

Terdahulu, sebanyak 1,000 rumah musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air Kampung Bahagia pagi tadi, dan Ketua Polis Daerah Sandakan ACP George Abd Rakman berkata 9,007 penduduk terjejas dalam kebakaran besar tersebut.

Pemaju Mukim kampung itu Rozaizar Rozainie bersama jiran tetangga bertarung nyawa lebih sejam untuk memadamkan api ketika kejadian itu, namun terpaksa mengalah.

"Saya bergegas ke lokasi, bawa orang kampung padam api. Tetapi apabila keadaan tidak terkawal dan api semakin membesar dibawa angin sejauh 400 meter mendekati rumah saya, kami pun tidak terdaya lagi. Kami terpaksa lari menyelamatkan diri dan keluarga," katanya.

"Sekarang belum tahu mahu tinggal di mana," katanya, mewakili ribuan mangsa yang kini bergantung harap kepada ihsan, doa, dan bantuan segera daripada seluruh rakyat Malaysia untuk mereka bangkit semula membina kehidupan.

Bagi penduduk kampung Azhar Saabdullah, detik cemas itu bermula apabila dia terbangun untuk ke tandas sebelum dikejutkan dengan bunyi jeritan jiran tetangga. Meluru keluar, dia melihat nyalaan oren marak memamah rumah pertama berhampiran pagar Kilang IOI.

“Saya ada bising, orang berlarian, berteriak ada kebakaran, saya terus keluar rumah dan nampak api di rumah pertama, mula-mula satu rumah dekat hujung pagar Kilang IOI, tetapi angin kuat, api pun cepat merebak.

“Rumah saya dengan rumah pertama terbakar hanya berjarak 400 meter tetapi apabila saya ke sana, sudah lima rumah terbakar, sekarang belum tahu mahu tinggal di mana,” katanya.

Azhar turut berharap bantuan segera dapat diberikan kepada mangsa terlibat, dan mereka kini berlindung di pusat pemindahan sementera (PPS) Dewan PPR Batu Sapi, Sekolah kebangsaan (SK) Gas dan SK Bahagia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan