Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM Anwar Seru Kerjasama Pertahanan, Aeroangkasa Lebih Kukuh Dengan Malaysia

20/04/2026 12:22 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pemain industri pertahanan dan aeroangkasa global untuk menjalinkan kerjasama lebih rapat dengan pengeluar di Malaysia selari dengan peranan negara yang semakin berkembang dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi.

Beliau berkata syarikat-syarikat Malaysia telah membuktikan kemampuan mereka dalam beberapa rantaian bekalan komersial paling mencabar di dunia menerusi budaya yang menekankan ketepatan dan akauntabiliti yang kukuh, termasuk dalam sektor aeroangkasa pertahanan.

“Kepada pihak utama dan pembekal Tier 1 di sini, mari datang dan bertemulah dengan pengeluar kami. Luangkan masa bersama-sama mereka. Sebahagian daripada anda sudah pun berbuat demikian, dan saya mempelawa mereka yang belum untuk mempertimbangkan mengapa rakan-rakan anda yang lain telah pun melakukannya,” katanya.

Ad Banner

Anwar berkata demikian ketika merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 hari ini, yang bertemakan “Memperkasakan Keupayaan dan Ketahanan Menerusi Teknologi”.

Pameran yang  memasuki edisi ke-19 itu berlangsung hingga Khamis ini, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Perdana Menteri berkata dasar Malaysia yang mengamalkan pendirian berkecuali membolehkan negara mengekalkan hubungan kerja dengan semua rakan utama serta membolehkan pembekal Malaysia menjadi sebahagian dalam rantaian bekalan global tanpa komplikasi geopolitik.

Ad Banner

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia menyasarkan untuk membina asas industri pertahanan, yang membolehkan syarikat tempatan memperoleh dan mengekalkan kedudukan dalam rantaian bekalan antarabangsa berdasarkan prestasi serta disiplin.

Beliau berkata kerajaan komited untuk memastikan persekitaran perniagaan yang boleh dipercayai, termasuk perlindungan harta intelek, penguatkuasaan kawalan perdagangan strategik serta pelaksanaan undang-undang yang saksama.

“Jika ada sesuatu yang tidak berfungsi, jika ada proses mewujudkan kesukaran yang tidak sepatutnya atau penguatkuasaan tidak mencapai tahap sepatutnya, terus maklumkan kepada kami. Kami akan bertindak,” kata beliau. 

Pada masa sama, Anwar menekankan keperluan tadbir urus yang bertanggungjawab terhadap teknologi yang berkembang pesat seperti kecerdasan buatan (AI), sistem autonomi dan keupayaan siber, sambil menegaskan bahawa kedua-dua pihak sama ada kerajaan mahupun industri perlu memainkan peranan.

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

DSA dan NATSEC Asia 2026 yang menggabungkan dimensi pertahanan konvensional, teknologi dan aset peperangan elektronik serta keselamatan dalaman itu turut menjadi medan untuk memperkukuh hubungan antara negara melalui mesyuarat, forum dan sesi dialog strategik.

Pameran berkenaan hanya terbuka kepada pegawai kerajaan dalam bidang pertahanan dan keselamatan, profesional dan eksekutif industri pertahanan serta keselamatan, anggota tentera, polis, pasukan yang berkaitan serta tetamu jemputan khas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan