KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 membuka tirainya hari ini dengan mengangkat tema “Memperkasa Keupayaan dan Ketahanan Menerusi Teknologi”.
Pameran edisi ke-19 yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) sehingga Khamis itu bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah turut dijadualkan berangkat ke pameran berkenaan dan berkenan menyampaikan ucaptama pada Forum Putrajaya yang bertemakan ASEAN Security in the Age of Emerging Technologies pada Selasa.
Edisi kali ini mencatatkan rekod penyertaan tertinggi melibatkan 1,456 syarikat pempamer dari 63 negara berbanding 1,324 syarikat dari 60 negara pada 2024.
Lebih menarik, ia juga menyaksikan penyertaan sulung syarikat persenjataan dan keselamatan dari Croatia, Finland, Hungary, Jepun serta Rusia.
Semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pada edisi kali ini, sebanyak 368 syarikat Malaysia terlibat dalam segmen baharu, iaitu pavilion Gabungan Industri Pertahanan Malaysia yang mempamerkan pelbagai produk dan keupayaan masing-masing.
Kementerian Pertahanan juga bakal menyampaikan dokumen Program Kolaborasi Industri (ICP) yang dianggarkan bernilai RM1.4 bilion kepada beberapa syarikat yang berjaya bagi tujuan pemindahan teknologi dan kepakaran pada pameran itu.
DSA dan NATSEC Asia 2026 yang menggabungkan dimensi pertahanan konvensional, teknologi dan aset peperangan elektronik serta keselamatan dalaman itu turut menjadi medan untuk memperkukuh hubungan antara negara melalui mesyuarat, forum dan sesi dialog strategik.
Antara syarikat pertahanan utama yang mengesahkan penyertaan ialah DEFTECH, ASELSAN, Turkish Aerospace Industries Inc, MILKOR, FNSS Savunma Sistemleri, Team Defence Australia, Airbus Group, BrahMos, Beretta Defense Technologies (BDT), Weststar Defence Industries dan Matra BAE Dynamics Alenia (MBDA).
Turut mengambil bahagian ialah syarikat Mindmatics, Hyundai WIA Corp, Kongsberg, ATLA Japan MOD, LIG Nex1, Glenair Inc, Fincantieri, Nurol Makina, HAVELSAN, CANiK Arms, FN Herstal dan Naval Group.
Pameran berkenaan hanya terbuka kepada pegawai kerajaan dalam bidang pertahanan dan keselamatan, profesional dan eksekutif industri pertahanan serta keselamatan, anggota tentera, polis, pasukan yang berkaitan serta tetamu jemputan khas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial