Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

NTIS Bantu 145 Syarikat, Terima Pembiayaan RM146 Juta - Chang

21/04/2026 10:53 AM

Oleh Lucia Terey John

PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Sebanyak 145 syarikat tempatan menerima pembiayaan berjumlah RM146 juta melalui Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) setakat April ini, dengan platform itu turut membantu menangani kekangan birokrasi dan regulatori yang sering menghalang pembangunan teknologi baharu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata teknologi yang disokong melalui NTIS juga mencatat pengkomersialan bernilai RM171.8 juta sepanjang pelaksanaannya di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), manakala penyelesaian teknologi tempatan yang menembusi pasaran antarabangsa  merekodkan nilai eksport RM122.8 juta.

Ad Banner

Beliau berkata sejak 2020, platform itu turut memudah cara 523 syarikat pemula (startup), dengan 101 teknologi tempatan berjaya dibolehdayakan, selain mewujudkan 333 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.  

“Sebelum ini, startup kita selalu menghadapi masalah, bukan hanya pembiayaan tetapi juga masalah (halangan) regulasi.

“Jadi NTIS ialah inisiatif untuk membantu syarikat menguji produk atau teknologi dalam persekitaran selamat, termasuk melalui kelonggaran kawal selia di tapak ujian tanpa terikat sepenuhnya, dengan peraturan ketat yang belum sesuai untuk teknologi baharu,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama.

Ad Banner

Chang berkata melalui NTIS, yang melibatkan kerjasama 19 kementerian, sebanyak 48 intervensi kawal selia telah dilaksanakan sebagai tambahan kepada penubuhan tujuh Jawatankuasa Sandbox Kementerian (JSK), dan pelantikan 46 pegawai titik fokus yang berfungsi menyelaras keperluan dasar serta mempercepat penyelarasan proses pematuhan.  

Beliau berkata pendekatan itu membolehkan syarikat pemula menangani birokrasi yang sebelum ini menjadi penghalang, termasuk dalam sektor yang melibatkan kawal selia ketat seperti dron, kesihatan dan teknologi bandar pintar.

NTIS turut menggunakan piawaian Technology Readiness Level (TRL) bagi menilai kesiapsiagaan teknologi dengan kebanyakan syarikat yang dipilih telah melepasi fasa prototaip sebelum memasuki sandbox, sekali gus mengurangkan risiko kegagalan.

Chang berkata antara contoh syarikat alumni NTIS yang berjaya ialah Billion Prima Sdn Bhd yang membangunkan sistem pengimbasan keselamatan kargo dan bagasi, serta Urban Explorer Sdn Bhd yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi pemeriksaan kerosakan jalan raya secara masa nyata.

“Sistem pengimbasan Billion Prima telah menembusi pasaran Indonesia selain menerima minat daripada beberapa negara jiran dengan nilai pengkomersialan setakat ini mencecah RM14 juta.

“Teknologi AI Urban Explorer pula telah diguna pakai oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan jumlah pengkormesialan RM975,797.80 dan kini dikembangkan ke Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata kejayaan itu menunjukkan platform sandbox bukan sahaja membantu inovator mengesahkan teknologi (tech validation) dan pasaran, tetapi turut membuka laluan pengembangan ke peringkat antarabangsa.

Melangkah ke hadapan, Chang berkata kerajaan akan terus memperkukuh NTIS termasuk memperluas kerjasama regulatori dan sokongan pengkomersialan bagi memastikan lebih banyak inovasi tempatan dapat berkembang ke peringkat industri.

 Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan NTIS terus berfungsi sebagai jambatan antara pembangunan teknologi, pematuhan regulatori dan akses pasaran, selain mengukuhkan ekosistem inovasi negara.  

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan