Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SMK Batu Laut Perluas Kelas Digital, Rancang Tambah Hingga Empat Kelas Baharu Tahun Ini

21/04/2026 04:49 PM

BANTING, 21 April (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Laut merancang menambah tiga hingga empat kelas digital baharu tahun ini, bagi memperkukuh penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran selaras dengan pendekatan pendidikan abad ke-21.

Pemangku Pengetua SMK Batu Laut Hamimi Hashim berkata pelaksanaan kelas digital memberi penekanan kepada penggunaan teknologi seperti televisyen pintar, papan pintar, komputer riba dan capaian Internet bagi menjadikan pembelajaran lebih interaktif serta membantu murid memahami konsep dengan lebih jelas.

"Pendekatan ini membantu murid untuk lebih fokus, memahami konsep dengan lebih jelas serta meningkatkan minat terhadap pembelajaran.

Ad Banner

"Selain itu, kelas digital juga membolehkan guru-guru mengintegrasikan pelbagai kaedah pembelajaran supaya murid tidak mudah bosan," katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2025 dan perasmian Kelas Digital, di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif tersebut turut disokong sumbangan kewangan daripada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu, yang sebelum ini menyalurkan RM20,000 pada 2024 bagi mewujudkan empat kelas digital lengkap dengan kemudahan teknologi.

"Saya difahamkan Datuk akan memberikan sumbangan RM20,000 untuk tahun ini sekali lagi. Dengan itu, insya-Allah pihak pengurusan SMK Batu Laut akan cuba mewujudkan tiga atau empat buah kelas digital lagi melalui sumber kewangan tersebut," katanya.

Ad Banner

Kampung Batu Laut merupakan kampung angkat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di bawah Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin, Satu Kampung, dan merupakan antara perkampungan tertua di daerah Kuala Langat, Selangor.

Pada masa sama, Hamimi berkata majlis berkenaan turut diadakan bagi meraikan pencapaian murid dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 serta peperiksaan akhir semester akademik bagi murid tingkatan satu hingga empat.

Beliau berkata walaupun keputusan SPM 2025 sekolah itu menurun sedikit berbanding tahun sebelumnya, pihak sekolah akan terus memperkukuh usaha penambahbaikan termasuk melalui penggunaan teknologi digital dalam pembelajaran.

Beliau berkata warga sekolah turut meletakkan harapan untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang pelajar memperoleh keputusan semua A dalam SPM 2026, dengan keyakinan lebih besar untuk mencapai sasaran itu pada 2027.

"Hasrat kami bukan sahaja mahu melihat murid cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga membina suasana pembelajaran lebih menarik, aktif dan berdaya saing melalui penggunaan teknologi di sekolah," katanya.

Sementara itu, Aiman Athirah berkata Parlimen Sepang terus memperluas pelaksanaan kelas digital di sekolah-sekolah di daerah Sepang dan Kuala Langat sebagai usaha meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan murid.

Beliau berkata Parlimen Sepang yang merangkumi dua daerah sentiasa bekerjasama rapat dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang dan Kuala Langat bagi memastikan bantuan pendidikan dapat disalurkan secara menyeluruh.

Katanya, pelaksanaan kelas digital melibatkan bantuan kepada sekolah rendah dan menengah sebagai sebahagian daripada projek mesra rakyat yang dilaksanakan secara berperingkat bermula 2024.

Menurut beliau, pelaksanaan kelas digital diyakini mampu membantu murid memahami pembelajaran dengan lebih berkesan, selain memudahkan guru menyampaikan pengajaran menggunakan pendekatan teknologi.

Beliau turut berharap kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan dan dijaga dengan baik oleh pihak sekolah bagi memastikan penggunaan jangka panjang serta menyumbang kepada peningkatan pencapaian akademik murid.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan