Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MARA Anjur Karnival Mega Di WTCKL Sempena Ulang Tahun Ke-60

22/04/2026 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menganjurkan karnival besar-besaran pada 1 hingga 5 Mei ini, bersempena sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan institusi berkenaan pada tahun ini.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kemuncak karnival yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu ialah perasmian sambutan ulang tahun ke-60 MARA oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Mei.

Beliau berkata karnival yang dijangka menarik kehadiran lebih 100,000 pengunjung itu bakal menghimpunkan semua institusi dan agensi di bawah jenama keluarga besar MARA, termasuk dalam bidang perkhidmatan, pendidikan dan keusahawanan.

Ad Banner

“Di karnival itu, pelajar lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) boleh mendapatkan maklumat melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan MARA, malah karnival ini beri ruang kita ambil terus pelajar yang ada kemahiran dan berminat daripada pelbagai peringkat, masuk ke program TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) MARA,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis peluncuran Pertandingan Pidato Piala Pengerusi MARA 2026 di Medan MARA di sini hari ini.

Beliau berkata selain institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan fasiliti pendidikan di bawah MARA, karnival itu juga akan menghimpunkan pusat pendidikan tinggi swasta.

Ad Banner

“Kita juga bawa karnival keusahawanan yang akan memperagakan pelbagai dimensi produk MARA termasuk perkhidmatan untuk orang awam.

“Ini akan beri peluang kepada semua peminjam MARA, penghutang MARA baik dari segi perniagaan, pendidikan, premis perniagaan yang menghadapi masalah ekonomi untuk mereka datang, kita bincang macam mana untuk penstrukturan, penjadualan dan sebagainya,” kata beliau.

Asyraf Wajdi berkata secara keseluruhan, karnival bermula 9 pagi hingga 10 malam itu akan menganjurkan lebih 100 program termasuk di reruai makanan dengan penglibatan beberapa pempengaruh dari seluruh negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan