KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menghulurkan kurniaan peribadi bagi membantu keluarga yang terjejas dalam tragedi kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah sumbangan akan disampaikan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dalam meringankan beban keluarga yang terlibat dalam tragedi berkenaan.
Justeru, Sultan Ibrahim menitahkan YSIJ untuk menghubungi Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan sumbangan dapat disalurkan kepada keluarga yang terkesan akibat kebakaran.
“Ramai yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi ini. Saya mendoakan agar mangsa kebakaran diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan yang menimpa mereka,” titah Seri Paduka Baginda.
Pada Ahad lepas, kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia di Sandakan telah memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan menjejaskan lebih 9,000 penduduk.
Kebakaran itu melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial