Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sektor Swasta Digalak Amal BDR, Model Hibrid - Ramanan

25/04/2026 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Syarikat swasta perlu mempertimbangkan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) dan model hibrid sebagai langkah segera menangani peningkatan kos sara hidup dan subsidi bahan api.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata kerajaan menggalakkan majikan, khususnya dalam sektor swasta untuk mengamalkan pendekatan berkenaan mengikut kesesuaian dengan keperluan operasi masing-masing.

“Jika dilihat sekarang, banyak syarikat gergasi dan multinasional telah mengamalkan praktis ini, begitu juga kebanyakan institusi perbankan. Jadi kita harap lebih banyak syarikat swasta dapat mengikut saranan ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Vetri MADANI di sini hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata peningkatan ketara dalam kos subsidi petrol yang kini mencecah hampir RM4 bilion sebulan berbanding kira-kira RM700 juta sebelum ini menuntut langkah seperti itu diambil bagi menjaga kepentingan rakyat.

Mengulas sama ada kerajaan akan menyediakan insentif kepada syarikat untuk melaksanakan BDR, beliau berkata perkara itu sedang dipertimbangkan, namun memerlukan sedikit masa sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Buat masa ini, kita berada dalam situasi krisis global dan keutamaan adalah memastikan perbelanjaan dibuat secara berhemat. Kerajaan juga sedang berusaha melakukan penjimatan sebaik mungkin,” katanya.

Ad Banner

Menyentuh mengenai Karnival Vetri MADANI, beliau berkata penganjuran program itu bertujuan meningkatkan taraf hidup melalui kemahiran, khususnya dalam kalangan komuniti India di negara ini.

Beliau berkata program berkenaan menyediakan pelbagai inisiatif termasuk latihan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan jentera, peluang pekerjaan serta akses kepada maklumat berkaitan bantuan dan program kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

“Peluang ini dibuka kepada 2,000 peserta tanpa mengira latar belakang. Orang ramai digesa merebut peluang ini dan mendaftar menerusi laman web www.hrdcorp.gov.my,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan