Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lima Premis Makanan Kotor Di Machang Diarah Tutup, Kompaun RM12,250 Dikeluarkan

26/04/2026 10:38 PM

KOTA BHARU, 26 April (Bernama) -- Lima premis makanan di Machang diarahkan tutup selama 14 hari kerana gagal mematuhi piawaian kebersihan ditetapkan, kata Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Mohd Azman Yacob.

Beliau berkata tindakan itu diambil di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pemilik premis yang ingkar arahan penutupan boleh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

“Tindakan ini hasil Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 03/2026 yang dilaksanakan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan pada 21 April lepas bagi memastikan pematuhan peraturan serta mencegah penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, tifoid dan kolera.

Ad Banner

“Sebanyak 47 premis makanan termasuk kedai makan dan restoran telah diperiksa melibatkan 71 petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Azman berkata pemeriksaan tertumpu di sekitar Bandar Machang, Pulai Chondong, Labok, Batu 30, Jalan Tanah Merah dan Jalan Pangkal Meleret.

Selain penutupan premis, sebanyak 61 notis tawaran kompaun berjumlah RM12,250 turut dikeluarkan kepada pemilik dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Ad Banner

Beliau berkata kesalahan paling banyak direkodkan ialah kegagalan mematuhi keperluan pakaian pengendali makanan dengan 46 notis melibatkan kompaun RM4,600.

“Kesalahan lain termasuk membenarkan pekerja tanpa suntikan vaksin atau latihan mengendalikan makanan serta kegagalan memastikan premis sentiasa bersih.

“Pemilik dan pengendali bertanggungjawab memastikan tahap kebersihan premis sentiasa dipatuhi. Mereka akan diberi bimbingan untuk penambahbaikan, namun arahan penutupan tetap dikenakan sekiranya masih gagal mematuhi pada pemeriksaan susulan,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai khususnya di Machang dan seluruh Kelantan agar lebih peka serta memilih premis makanan yang bersih ketika makan di luar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan