Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Aminuddin Jalankan Tugas Menteri Besar Seperti Biasa - PM Anwar

28/04/2026 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa Datuk Seri Aminuddin Harun akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Anwar berkata perkara itu dititahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, ketika beliau menghadap baginda semalam.

“Semalam saya menghadap Tuanku Muhriz dan menjunjung kasih atas pertimbangan baginda untuk pertamanya atas titah baginda supaya Aminuddin meneruskan tugas sebagai Menteri Besar demi kepentingan negeri dan kebajikan rakyat.

Ad Banner

“Keputusan setakat ini, dengan titah Tuanku yang saya dengar semalam, kerajaan negeri harus berjalan seperti biasa sehingga ada keperluan untuk membawa apa-apa perubahan. 

“Setakat ini saya telah minta Menteri Besar (Aminuddin) jalankan (tugas) seperti biasa dan proses undang-undang tidak menghalang, dan kita juga tidak menghalang proses undang-undang itu diteruskan dengan baik. Tidak menyentuh sama ada institusi Raja, atau Undang, kita muliakan,” katanya kepada pemberita selepas sesi Temu Anwar dan peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI di sini, hari ini.

Semalam, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin, susulan kemelut pemerintahan dan pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Yang Dipertua DUN dan Setiausaha DUN.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan tidak mewujudkan sebarang implikasi lain serta menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Malah, beliau menjangkakan untuk bertemu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bagi membincangkan perkembangan isu tersebut.

“Setakat ini tidak timbul isu bubar...yang setakat saya bincang, minta pandangan, nasihat Tuanku, dia (Aminuddin) diminta jalan terus (tugas Menteri Besar) sementara proses yang lain itu dijalankan ikut undang-undang,” katanya.

Selain mengingatkan supaya tiada yang membuat andaian mengenai kemelut negeri itu, Anwar meminta semua pihak untuk memberikan ruang bagi membolehkan rundingan dijalankan dengan baik melibatkan sebarang keputusan sistem perundangan di negeri berkenaan.

Tanpa memberikan tempoh bagi melihat kemelut politik di Negeri Sembilan berakhir, Anwar berkata keputusan yang dibuat kelak perlu mengambil kira sistem perundangan negeri berkenaan.

“Saya tidak boleh bagi satu tarikh kerana wajar kita beri ruang untuk semua pihak berunding dengan baik kerana keputusan dibuat bagi yang memahami sistem perundangan Negeri Sembilan, umpamanya pelantikan Menteri Besar itu bersama empat Undang. 

“Kalau kita ambil keputusan pelantikan itu dengan empat Undang, pengunduran pun begitu juga. Jadi ia tidak semudah yang dibayangkan,” kata Perdana Menteri.

Beliau juga berkata sebarang keputusan yang diambil kelak perlu menjaga kepentingan negeri serta menghormati dan memuliakan institusi Diraja.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh untuk memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri berkenaan.

“Saya juga menyeru rakyat khususnya di Negeri Sembilan terus berhemah, beradab dan menjaga ketertiban terutama dalam membicarakan ehwal institusi Raja dan undang-undang negeri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan