Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kemarau Panjang Cetekkan Sungai Anak Muring, Jejas Sumber Rezeki Penduduk

29/04/2026 01:45 PM

TANAH MERAH, 29 April (Bernama) -- Musim kemarau berpanjangan sejak beberapa bulan lalu telah menyebabkan paras air Sungai Anak Muring di Kampung Bukit Kechik di sini menjadi semakin cetek, sekali gus menjejaskan kehidupan harian dan sumber rezeki penduduk.

Tinjauan Bernama baru-baru ini mendapati paras air sungai berkenaan menyusut sehingga kira-kira tiga meter, menyebabkan sebahagian besar dasar sungai mula kelihatan dan alirannya menjadi semakin sempit.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Bukit Kechik, Md Noor Hasan, 66, berkata keadaan itu memberi kesan langsung kepada penduduk yang selama ini bergantung kepada sungai sebagai laluan utama dan sumber rezeki.

Ad Banner

Beliau berkata sungai berkenaan sebelum ini digunakan sebagai laluan perhubungan menggunakan perahu dan bot, namun kini tidak lagi dapat dilalui kerana air terlalu cetek.

“Nelayan sungai juga tidak lagi dapat menahan pukat atau menjala kerana ada kawasan yang hampir kering dan aliran air hanya selebar kira-kira sekaki,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Seorang penduduk kampung, Ismail Junoh, 71, berkata kemarau itu turut menjejaskan aktiviti pertanian yang menjadi sumber pendapatan utama penduduk kampung.

Ad Banner
Ad Banner

Katanya, bekalan air sungai yang semakin berkurangan menyukarkan usaha menyiram tanaman seperti sayur-sayuran dan kebun kecil secara berterusan.

“Selain itu, aktiviti menangkap ikan yang sebelum ini menjadi sumber makanan tambahan turut terjejas kerana jumlah ikan semakin berkurangan,” katanya.

Ismail berkata hasil tangkapan kini merosot ketara berbanding sebelum ini berikutan keadaan sungai yang semakin cetek.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan