JERTIH, 29 April (Bernama) -- Seorang peniaga umpan pancing kini bergelar jutawan selepas dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan memancing di Kolam Titi Mega, Alor Setar, Kedah pada Ahad lepas.
Muhammad Khalis Zulkifle, 35, dari Seberang Jertih, di sini, menjadi jutawan sekelip mata apabila membawa pulang wang tunai RM1 juta selepas berjaya menaikkan ikan keli seberat 9.5 kilogram (kg), sekali gus menewaskan ribuan peserta lain yang mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.
Bapa kepada empat cahaya mata itu mengakui masih terkejut selepas dimaklumkan sebagai pemenang hadiah utama dalam pertandingan yang disertai lebih 10,000 peserta.
“Saya memancing hanya menggunakan satu joran, dengan bayaran yuran penyertaan RM220. Sebaik berjaya menaikkan ikan keli itu selepas 40 minit pertandingan bermula, saya mula berdebar-debar kerana tertanya-tanya sama ada terdapat pemancing lain yang memperoleh ikan lebih berat daripada saya bagi kategori ikan terberat yang tidak melebihi 10 kilogram seperti yang ditetapkan oleh penganjur.
"Alhamdulillah, saya menganggap kemenangan itu sebagai rezeki bersempena hari jadi anak ketiganya yang berusia 10 tahun pada hari berkenaan. Ketika diumumkan sebagai pemenang, saya tergamam seketika antara percaya dengan tidak,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Khalis berkata cabaran yang dihadapinya selepas memenangi wang itu adalah memikirkan aspek keselamatan untuk membawa pulang wang tunai berkenaan, bagaimanapun dengan mengambil langkah tertentu atas nasihat penganjur, isu itu dapat diselesaikan.
Hadiah terbesar pernah dimenanginya sebelum ini adalah sebanyak RM30,000 menerusi pertandingan di sebuah kolam memancing di Jertih.
Dia yang aktif menyertai pertandingan memancing sejak empat tahun lepas turut menjual minyak khas untuk digaulkan dengan umpan setiap kali menyertai pertandingan.
“Minyak memancing itu adalah ramuan saya sendiri dan urusan menjualnya adakala dibantu oleh isteri saya,” katanya.
Hadiah kemenangan itu akan digunakan untuk membina rumah sendiri, membantu mengembangkan perniagaan kedai makan isterinya serta untuk simpanan hari tua.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial