Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jalil Hamid Meninggal Dunia

04/05/2026 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Pelakon dan penyanyi veteran Jalil Hamid meninggal dunia  di kediamananya di Shah Alam pada 12.30 tengah hari tadi pada usia 69 tahun.

Anak perempuan Allahyarham, Afiqah Jalil berkata bapanya meninggal dunia dalam tidur.

“Selepas Subuh tadi, ayah sambung tidur semula… lepas itu ayah tiada lagi. Ayah ada masalah jantung bengkak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ad Banner

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam.

Jalil atau nama sebenar, Abd Jalil Abd Hamid  mula aktif dalam industri seni sejak lebih 40 tahun lepas dan dikenali sebagai artis serba boleh termasuk sebagai pelakon komedi selain membintangi filem dan drama yang menyentuh hati peminat seni tanah air.

Antara karya ikonik yang pernah dihasilkan termasuklah lagu Ayam dan Raya serta membintangi filem Baginda dan Zombi Kampung Pisang serta beberapa drama tempatan.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Hafiz Nafiah berkata segala hasil kerja Allahyarham Jalil akan terus dikenang sepanjang zaman oleh warga industri seni tanah air dan seluruh peminatnya.

"Pemergian Jalil Hamid sudah pasti meninggalkan kesan mendalam pada warga industri seni tanah air kerana beliau sering dijadikan rujukan buat pelakon-pelakon komedi baharu, penyanyi baharu malah beliau sememangnya tidak kedekut ilmu dan sentiasa bersedia untuk berkongsi ilmu," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Seniman menganggap pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar yang sukar diterima, memandangkan sumbangan dan jasa beliau kepada industri akan terus diingati oleh pelapis seni masa kini.

Menurutnya Seniman turut merakamkan penghargaan atas segala pengorbanan, pandangan, ilmu serta kerjasama Allahyarham dalam pelbagai program anjuran persatuan itu sebelum ini.

“Seniman mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Kami juga berharap keluarga Allahyarham tabah dan reda dengan pemergian ini,” katanya.

Kepimpinan tertinggi serta barisan exco Seniman turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau ditempatkan dalam kalangan penghuni syurga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan