Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Semak Tawaran Badal Haji Dengan Pihak Berwajib, Elak Penipuan - Zulkifli

04/05/2026 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Umat Islam diingatkan supaya menyemak kesahihan tawaran badal haji dengan pihak berwajib terutama Tabung Haji (TH) bagi mengelak menjadi mangsa penipuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata kerajaan juga telah memperketat pemantauan di pelbagai peringkat termasuk menubuhkan pasukan khas bagi memantau perkara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta media sosial bagi mengesan maklumat yang boleh mengelirukan orang ramai.

“Pasukan kita melihat perkara ini dan sekiranya ada kekeliruan akan terus memberikan penjelasan serta membetul maklumat tersebut.

Ad Banner
Ad Banner

“Selain itu, pelajar yang berada di Arab Saudi juga ada mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan peringatan tentang (penipuan) badal haji,” katanya ketika ditemui di Wisma Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata secara keseluruhannya, gerak kerja yang dilaksanakan adalah menyeluruh bagi mengelakkan umat Islam tertipu dalam urusan berkenaan.

Mengulas mengenai bilangan syarikat pengelola jemaah haji (PJH) yang berjumlah 31 tahun ini berbanding 37 pada musim lepas, beliau berkata penilaian dibuat secara berterusan bagi memastikan hanya syarikat berkelayakan dibenarkan beroperasi.

Ad Banner
Ad Banner

“Sebenarnya, dari semasa ke semasa, kita memperkukuh lagi dan memastikan bahawa setiap pengelola jemaah haji itu adalah yang benar-benar berkelayakan dan memenuhi keperluan sepertimana yang dipersetujui oleh TH.

“Tahun ini, kemampuan syarikat-syarikat PJH ini adalah semakin baik,” katanya dan menambah walaupun terdapat banyak syarikat yang mempunyai kemampuan, hanya yang memenuhi piawaian ditetapkan TH akan dipilih.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan