SHAH ALAM, 6 Mei (Bernama) -- Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menegaskan bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sering menitikberatkan tindakan yang efektif dan bukan janji kosong dalam menyelesaikan masalah rakyat bersesuaian dengan peranan baginda sebagai Ketua Negeri.
Mereka berkata sebarang nasihat, teguran dan peringatan oleh Sultan Selangor merupakan nasihat dan teguran penting dari seorang Raja bagi memastikan pentadbiran negeri dijalankan dengan penuh tanggungjawab.
“Berdasarkan prinsip Raja Berperlembagaan, Sultan Selangor tidak mahu bertindak sebagai rubber stamp atau sekadar formaliti dalam melaksanakan fungsi baginda sebagai Sultan.
“Sultan bertindak sebagai satu kuasa semak dan imbang atau check and balance terhadap pihak eksekutif untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara.
“Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor yakin Sultan Sharafuddin yang mempunyai pengalaman memerintah selama tempoh 25 tahun sebagai Sultan Selangor dan 33 tahun sebagai Raja Muda Selangor, amat memahami dan mendalami peranan baginda mengikut undang-undang selaras dengan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menyangkal pandangan serong dan negatif daripada sebahagian pemimpin politik dan pihak tertentu yang menganggap titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 bulan lepas, telah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri dan melanggar konsep Raja Berperlembagaan.
Mereka berkata titah Sultan Sharafuddin pada istiadat yang berlangsung 20 April lepas, adalah selari dengan peranan seorang Raja dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan.
Menurut mereka, titah berkenaan adalah bagi memastikan segala tindakan kerajaan negeri bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam pemerintahannya.
“Dalam konteks Selangor, Menteri Besar dikehendaki berunding dengan Sultan dalam segala hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.
“Rundingan membawa maksud bahawa Sultan mempunyai hak untuk diberi sembah maklum oleh Menteri Besar mengenai urusan pentadbiran negeri bagi membolehkan baginda mengetahui apa yang berlaku di samping memberi nasihat sebelum sesuatu keputusan mengenainya dimuktamadkan.
“Pandangan dan nasihat Sultan berdasarkan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi kepentingan politik,” menurut mereka.
Menurut mereka, Sultan Selangor juga kerap menerima aduan daripada rakyat berkaitan pelbagai isu seperti banjir, kutipan sampah, jalan berlubang serta pelbagai masalah lain yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian masyarakat.
Aduan yang disampaikan kepada baginda juga bukan bersifat surat layang, sebaliknya disertakan dengan nama, alamat serta nombor telefon pengadu sebagai bukti bahawa mereka benar-benar terkesan dan berada dalam keadaan terdesak, selain berharap agar baginda dapat menegur kerajaan negeri berhubung kesulitan dihadapi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial