GEORGE TOWN, 7 Mei (Bernama) -- Kerja awalan bagi projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua (PTJSD) Pakej 1 dekat sini menunjukkan kemajuan, manakala kerja pengalihan utiliti, geoteknikal dan lain-lain sedang giat dijalankan di tapak projek.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan memaklumkan, Pakej 1 meliputi kerja-kerja menaik taraf bulatan di Persimpangan Bertingkat Timur-Barat (KM135.15 hingga KM135.4) dan pembinaan jejambat baharu di Jalan Tun Hussein Onn (KM133.5 hingga KM134.5).
"Sehingga pertengahan April lepas, kerja awalan projek yang telah dilaksanakan merangkumi beberapa aktiviti teknikal seperti ukur topografi, pemetaan pengesanan utiliti, penyiasatan tanah, kajian keadaan struktur sedia ada serta kerja perintisan.
"Pencapaian itu mencerminkan komitmen semua pihak yang terlibat dalam memastikan asas pelaksanaan projek berada pada landasan yang kukuh," menurut kenyataan itu, hari ini.
PLUS memaklumkan kerja pengalihan utiliti yang sedang giat dilaksanakan kini telah mencapai kira-kira 55 peratus kemajuan, hasil koordinasi yang baik antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS bersama beberapa agensi utiliti utama termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) serta TIME dotCom Berhad.
Kerja-kerja geoteknikal juga sedang dilaksanakan di lokasi projek, antaranya melibatkan pemasangan saliran menegak prafabrikasi dan surcaj, pemasangan tambak cerucuk, cerucuk ujian awal dan penyediaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP), serta kerja pemecahan saliran sedia ada bagi memudahkan pelaksanaan kerja pembinaan seterusnya.
PTJSD ialah merupakan projek berimpak tinggi yang dilaksanakan bagi menyediakan infrastuktur yang mampan dan memberikan manfaat kepada rakyat, bertujuan mengurangkan kesesakan di koridor Juru-Sungai Dua, antara laluan paling sibuk di Lebuhraya Utara-Selatan.
Projek sepanjang 17.3 kilometer, merentasi tiga daerah utama, iaitu Seberang Perai Selatan, Tengah dan Utara akan memberikan manfaat kepada 200,000 pengguna harian jajaran berkenaan.
PTJSD, yang dianggarkan melibatkan kos RM3 bilion itu dijangka mengurangkan kesesakan trafik, dengan 30 peratus akan beralih ke laluan terus baharu Juru-Sungai Dua, sekali gus menjimatkan masa perjalanan dari sejam kepada hanya 20 minit pada waktu puncak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial