KUALA LUMPUR, Mei 8 (Bernama) -- Skuad sepak takraw negara diingatkan supaya lebih berwaspada dengan kebangkitan Thailand menjelang aksi Piala Dunia Sepak Takraw 2026, yang dijangka membuat rombakan besar-besaran untuk merampas kembali gelaran di Stadium Titiwangsa pada 16 hingga 23 Mei ini.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan berkata pasukan negara jiran itu sudah melakukan persiapan rapi termasuk perubahan dalam barisan pemain serta struktur kejurulatihan selepas tewas kepada Malaysia di laman sendiri dalam acara regu berpasukan di Sukan SEA tahun lepas.
“Selepas kekalahan di laman sendiri, Thailand tidak akan duduk diam. Sudah pasti mereka akan kembali bangkit. Mereka membuat rombakan bukan sahaja daripada segi pemain, tetapi juga latihan dan pengurusan pasukan.
“Kita sentiasa mengikuti perkembangan mereka supaya tidak terkejut dengan kekuatan baharu yang dibawa,” katanya selepas majlis memperkenalkan pemain kebangsaan di sini malam tadi.
Selain Thailand, Mohd Sumali turut menjangkakan cabaran sengit daripada India, Korea Selatan dan Jepun khususnya dalam acara kuadran.
Pada masa sama, Mohd Sumali optimis skuad negara mampu melangkah ke final bagi ketiga-tiga acara dipertandingkan lebih-lebih lagi dengan kelebihan beraksi di laman sendiri.
Bagaimanapun, beliau mengakui acara kuadran masih menjadi kebimbangan utama apabila skuad negara perlu memperbaiki beberapa aspek teknikal termasuk sistem blocking dan variasi taktikal bagi menyaingi negara lain.
Menurutnya, barisan kuadran negara memiliki potensi besar berdasarkan pengalaman muncul juara Asia sebelum ini.
“Kalau kita lihat acara kuadran ini, semua negara seimbang kerana banyak bergantung kepada taktikal. Sebab itu kita perlu cepat memperbaiki kelemahan terutama dari segi blocking tiga pemain,” katanya.
Tahun lepas, skuad negara menamatkan kemarau kejuaraan acara regu berpasukan selepas menewaskan musuh tradisi itu 2-0 pada perlawanan akhir Sukan SEA 2025, Disember tahun lepas.
Kejayaan tersebut sekali gus menamatkan penantian selama 34 tahun untuk menjulang kejuaraan regu berpasukan, yang kali terakhir dimenangi pada temasya Sukan SEA 1991 di Manila.
Juara bertahan Malaysia diundi dalam Kumpulan A divisyen premier acara regu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026, dan berdasarkan undian, skuad negara bakal berdepan Jepun dan Singapura dalam usaha mempertahankan kejuaraan dimenangi sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial