KULIM, 7 Mei (Bernama) -- Kementerian Ekonomi akan terus memantau rapat pelaksanaan projek-projek pembangunan di bawah kementerian itu bagi memastikan ia tidak tergelincir, khususnya projek berkepentingan rakyat yang sedang berjalan.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kementerian itu sentiasa menilai keperluan intervensi kerajaan bagi menangani implikasi krisis berkenaan menerusi Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan pada setiap minggu.
Beliau berkata kerajaan perlu memastikan pembangunan dapat diteruskan kerana limpahan manfaat daripada projek pembangunan memberi kesan jangka panjang kepada rakyat dan negara.
“Ketika ini, sudah pasti kami kena pastikan pembangunan terus berlaku kerana limpahannya, terutamanya projek-projek pembangunan ini, kesannya bukan sehari dua.
“Kalau ada projek yang tidak dapat diteruskan, contohnya isu bekalan air, kami berbicara soal keperluan mendatang untuk bertahun-tahun,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kulim Hi-Tech Park (KHTP) di sini hari ini.
Pada masa sama, Akmal Nasrullah berkata sekiranya beban fiskal terus meningkat, kerajaan perlu mengutamakan projek-projek yang berkepentingan rakyat, terutama yang sedang berjalan.
“Jadi, sebab itu nasihat kami kepada semua pihak adalah terus mencari jalan untuk mengekalkan prestasi yang ada malah pembangunan-pembangunan yang dirancang,” katanya.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata lawatan ke KHTP hari ini turut bertujuan meneliti perkembangan terkini pembangunan Fasa 5 taman perindustrian itu yang perlu dipastikan berjalan lancar.
Beliau berkata antara perkara yang diberi perhatian ialah aspek bekalan air dan tenaga bagi menyokong keperluan pembangunan industri di kawasan berkenaan.
“Kerajaan Persekutuan telah menyediakan dana pembangunan sebanyak RM132 juta bagi tujuan infrastruktur dan juga pinjaman RM195 juta untuk kerja-kerja pengambilan tanah dan sebagainya.
“Saya ambil peluang untuk meneliti perkembangan mutakhir ini bagi pihak KHTP dan juga memastikan perancangan untuk fasa kelima ini berjalan dengan baik, terutamanya memastikan sumber bekalan air dan tenaga,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial