Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

GPMS Adakan Himpunan Junjung Kasih, Taat Setia Sultan Selangor Di Shah Alam

08/05/2026 06:42 PM

SHAH ALAM, 8 Mei (Bernama) -- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini mengadakan Himpunan Junjung Kasih dan Taat Setia kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di hadapan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Setiausaha Agung GPMS Wafiyuddin Musa berkata himpunan itu diadakan sebagai tanda sokongan dan taat setia tidak berbelah bahagi terhadap institusi diraja serta titah baginda demi kepentingan rakyat dan negeri.

Beliau berkata sebanyak 80,000 ahli GPMS di seluruh negara bersedia mempertahankan kedaulatan institusi beraja daripada sebarang pihak yang cuba mempertikaikan keputusan yang telah dibuat Sultan Selangor.

Ad Banner
Ad Banner

“Hari ini kami datang untuk zahirkan taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dengan menggembleng seluruh tenaga daripada setiap pelosok negeri untuk berkumpul di sini.

“Apa yang kami tekankan kepada pihak yang cuba mempertikaikan ialah Sultan Selangor membuat keputusan atas kemaslahatan rakyat secara bersama tanpa mengira batasan satu bangsa atau satu agama sahaja,” katanya kepada media selepas mengetuai himpunan berkenaan bersama lebih 50 ahli GPMS.

Wafiyuddin berkata tindakan pihak tertentu yang cuba mengelirukan fakta serta mempertikaikan titah Sultan Selangor dilihat sebagai tidak menghormati institusi beraja seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ad Banner
Ad Banner

Semalam, Sultan Sharafuddin kekal dengan pendirian tidak memperkenankan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani.

Mohamad Munir berkata pendirian baginda itu kekal seperti yang pernah ditegaskan sebelum ini menerusi kenyataan media bertarikh 10 Feb lepas yang menyentuh isu sama.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan