MELAKA, 9 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas Ketua Pengarang Melaka Hari Ini Ishak Mohamed Salleh ketika menziarahi beliau di kediamannya di sini.
Sekretariat HAWANA 2026 dalam kenyataan memaklumkan Ishak, 65, yang pernah menerajui Melaka Hari Ini selama 18 tahun hingga 2018, kini berdepan dengan cabaran kesihatan termasuk diabetes dan penyakit saraf yang menyebabkannya kehilangan deria rasa pada bahagian kanan tubuhnya.
"Tabung Kasih@HAWANA yang diperkenalkan pada April 2023 memanfaatkan sebanyak 740 pengamal media di seluruh negara.
"Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan komuniti media, khususnya mereka yang memerlukan," menurut kenyataan itu.
Inisiatif ini dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan dilancarkan bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Sementara itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi dan Bernama sentiasa mengambil peluang untuk menyampaikan sumbangan serta bantuan kepada keluarga pengamal media yang memerlukan.
"Ini memberi peluang untuk kita bukan hanya menjalinkan silaturahim, malah diharap membantu menyuntik semangat kepada veteran-veteran untuk meneruskan kehidupan, di samping mengenang kembali dan mengimbau semula usaha mereka dalam bidang kewartawanan,” katanya.
Dalam pada itu, Ishak berkata beliau berasa dihargai dengan sumbangan dihulurkan menerusi Tabung Kasih@HAWANA ini.
"Dahulu, golongan wartawan tidak dipandang, tetapi dengan adanya usaha sebegini kita rasa dihargai, dan wartawan muda akan melihat kerjaya ini dihargai oleh semua pihak," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial