Oleh Siti Maisarah Ahmad dan Habsah Ismail
GUA MUSANG, 10 Mei (Bernama) -- Kemunculan lembu rayau di laluan utama sekitar daerah ini terus mencetuskan kebimbangan pengguna jalan raya terutama pada waktu malam dan hujan lebat kerana sering mengundang kemalangan.
Mangsa kemalangan mendakwa situasi itu bukan lagi isu baharu apabila haiwan ternakan dibiarkan berkeliaran di atas jalan sehingga menyebabkan kecederaan, kerosakan kenderaan dan kehilangan nyawa.
Pemborong buah-buahan dan sayur-sayuran, Ibrahim Ismail, 62, berkata pacuan empat roda yang dipandunya melanggar seekor lembu di Jeram Tekoh berhampiran sebuah klinik kira-kira pukul 11 malam, bulan lepas.
Katanya kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang dari pasar lambak sebelum seekor lembu tiba-tiba meluru ke arah jalan ketika dia merendahkan lampu kenderaan kerana terdapat kereta dari arah hadapan.
“Sebuah Proton Saga sudah melanggar haiwan sama sebelum ia datang ke arah kenderaan saya. Memang tak sempat elak,” katanya.
Menurut Ibrahim, kejadian itu menyebabkan kerugian hampir RM4,000 selepas tangki air, sistem pendingin hawa, bumper dan lampu kenderaannya rosak.
Beliau berkata kemalangan membabitkan haiwan rayau lebih berbahaya kepada penunggang motosikal kerana risiko kecederaan serius dan kematian adalah lebih tinggi.
Seorang lagi mangsa, Mohamad Syafid Ikhmal Muhamad Zailani, 17, berkata dia cedera pada jari, siku, bahu dan kedua-dua lutut selepas motosikal dinaikinya bersama rakan melanggar tiga ekor lembu ketika hujan lebat di kawasan jambatan berhampiran Kampung Limau Kasturi.
Katanya kejadian berlaku ketika mereka pulang dari tanah perkuburan selepas menguruskan pengebumian seorang saudara.
“Jalan gelap dan hujan lebat sebelum tiba-tiba muncul tiga ekor lembu besar di depan motosikal. Memang tak sempat mengelak,” katanya.
Rakannya, Razim Rosli, 17, pula berkata motosikal ditungganginya pernah terbabas ketika cuba mengelak seekor lembu di tengah jalan.
Tinjauan di beberapa kawasan sekitar Gua Musang mendapati masalah lembu rayau masih serius terutama di Kampung Limau Kasturi, Jeram Tekoh dan Chiku 5 termasuk laluan berhampiran ladang kelapa sawit serta kawasan FELDA.
Penduduk menggesa pihak berkuasa memperketat penguatkuasaan termasuk mewajibkan tanda pengenalan ternakan, selain menambah lampu jalan dan papan tanda amaran haiwan rayau.
Pada 1 Mei lepas, Ketua Jajahan Gua Musang, Mohd Roshdi Ismail dilaporkan berkata sebanyak 191 kes kemalangan membabitkan lembu direkodkan sepanjang tahun lepas dengan kerugian melebihi RM1.14 juta.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo pula dilaporkan mengenal pasti beberapa lokasi panas kemalangan haiwan rayau di laluan Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Jeli.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial