KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan seramai 335 warga asing hasil daripada 38 serbuan menerusi Ops Taring Nyah 1 yang dijalankan di kawasan tanggungjawabnya dalam tempoh Januari lepas hingga hari ini.
Komander Briged Tengah PGA SAC Hakemal Hawari berkata daripada jumlah itu seramai 237 ialah lelaki dewasa, 96 wanita dewasa, manakala dua lagi merupakan kanak-kanak lelaki.
Menerusi operasi yang sama seramai 37 orang tekong darat dan laut turut ditahan iaitu lima lelaki tempatan, 31 warga Indonesia termasuk dua wanita dan seorang lelaki warga Myanmar.
“Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.
“Turut dirampas dalam operasi itu 20 buah kenderaan, tiga buah bot dan 57 unit telefon bimbit serta lain-lain rampasan melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM1.6 juta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Hakemal berkata operasi itu dijalankan bagi memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara serta mengekang sebarang cubaan kemasukan pendatang asing,
Sementara itu, dalam tempoh yang sama, Briged Tengah PGA turut menjalankan 159 serbuan menerusi Ops Taring Alpha, Ops Taring Bravo, Ops Taring Charlie, Ops Taring Delta, Ops Hazard, Ops Mitra, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), Ops Palma, Ops Intra/Inter agensi.
Beliau berkata hasil operasi yang dijalankan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor itu, seramai 551 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Pihak polis mengharapkan agar orang awam dapat menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan segala jenis maklumat berkaitan kes penyeludupan migran bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh sebarang elemen aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial