KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Musyawarah Nasional perlu dijadikan sebagai ‘Makmal Pemikir Bangsa’, iaitu ruang untuk menguji fakta, memisahkan persepsi daripada realiti serta merumuskan tindakan berhubung keresahan orang Melayu ketika ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga pengasas Musyawarah Nasional berkata platform itu bukan sekadar medan membawa keluhan sebaliknya menghimpunkan akal, data, pengalaman dan keberanian untuk mencari penawar kepada ‘penyakit’ bangsa.
Beliau berkata negara telah melalui fasa peralihan besar sejak 2018 yang menguji daya tahan rakyat susulan perubahan politik, tekanan ekonomi pasca-COVID-19, ketidaktentuan geopolitik, konflik dunia serta ledakan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan automasi yang mengubah cara manusia berfikir, berinteraksi dan membina masa depan.
“Dalam suasana inilah keresahan Melayu terbentuk. Ia tidak muncul secara tiba-tiba, tetapi terkumpul sedikit demi sedikit melalui tekanan yang berpanjangan. Hari ini, keresahan itu bukan lagi sekadar persepsi. Ia menyentuh emosi, maruah, keyakinan dan persoalan besar tentang kedudukan bangsa kita di tanah air sendiri.
“Namun, apabila kita berbicara tentang keresahan Melayu, jangan sesekali disalahertikan sebagai penolakan terhadap perpaduan. Ini bukan soal perkauman. Ini soal tanggungjawab terhadap bangsa teras yang menjadi satu daripada tunjang kestabilan, keharmonian dan kemakmuran negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Musyawarah Nasional bertemakan ‘Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya’, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pada masa yang sama, Musyawarah Nasional mesti menjadi ijtihad zaman untuk menyesuaikan strategi supaya prinsip terus hidup dalam peredaran masa, bukan untuk meninggalkannya.
“Cabaran hari ini tidak sama dengan cabaran dahulu. Ekonomi berubah. Teknologi berubah. Politik berubah. Cara fikir rakyat pun berubah. Maka bangsa ini tidak boleh terus menjawab masalah baharu dengan pendekatan lama,” katanya.
Beliau menegaskan keresahan bangsa Melayu ini tidak boleh dibakar menjadi kebencian, dimanipulasi menjadi modal politik sempit dan dijadikan alasan untuk meruntuhkan keharmonian negara.
“Sebaliknya, keresahan ini mesti diurus dengan ilmu, dipandu dengan hikmah dan digerakkan dengan keberanian supaya resah tidak menjadi marah, tetapi berubah menjadi arah,” katanya.
Ahmad Zahid berkata Musyawarah Nasional bukan untuk menyemarakkan ketakutan, sebaliknya menjadi himpunan kesedaran bahawa keresahan bangsa tidak boleh dibiarkan sekadar menjadi keluhan tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
-- LAGI
AHMAD ZAHID-MUSYAWARAH 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
“Inilah tujuan Musyawarah Nasional yang saya hasratkan. Bukan sekadar untuk berbicara tentang masalah bangsa, tetapi untuk menyusun semula kekuatannya,” katanya.
Musyawarah Nasional merupakan platform dialog bagi membina persetujuan dasar secara konsensus dan pelan pelaksanaan berasaskan data, pengalaman lapangan dan keperluan semasa berteraskan Maqasid syariah (memelihara agama, nyawa, akal, keturunan, harta), keadilan sosial, pembangunan insan, dan kesejahteraan ekonomi.
Program bertemakan Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya yang julung kali diadakan itu menghimpunkan kira-kira 2,000 peserta terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk tokoh masyarakat, ilmuwan, ulama, profesional, ahli akademik, teknokrat, ahli politik, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), para seniman, pempengaruh, dan pemain industri Melayu-Islam.
Musyawarah itu bertujuan mencari kesepakatan serta mencadangkan tindakan penyelesaian terhadap isu strategik masa depan bangsa Melayu dan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial