KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Keputusan kerajaan untuk meminda Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 tidak sepatutnya mencetuskan persepsi negatif kerana langkah itu bertujuan memperkasakan institusi berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pindaan terhadap akta itu telah dipersetujui oleh ahli majlis MARA bagi memastikan peranannya sentiasa pada landasan penubuhan selain memperkukuh tadbir urus pengurusan.
Ahmad Zahid berkata MARA yang ditubuhkan melalui penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) pada 1965 perlu mempunyai kekuatan perundangan yang tetap bagi menjamin kelangsungan fungsinya.
“Akta ini dibuat supaya kita kembali kepada landasan asal dan supaya tatakelola pengurusan MARA ini tidak lari apabila ketua pengarah bertukar, pengerusi bertukar, menteri yang jaganya bertukar, malah yang paling menyedihkan jika kerajaan bertukar sekalipun.
“Akta itu tetap akan digunakan bukan hanya sebagai panduan, tetapi ia mesti dan wajib diikuti. Itulah tujuannya (pindaan dibuat),” katanya pada sidang media selepas penutupan Musyawarah Nasional, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata sejarah penubuhan MARA yang bermula dengan nama Lembaga Kemajuan Perusahaan dan Kampung (RIDA) perlu kekal berada di landasan yang betul tanpa dipengaruhi oleh perubahan kepimpinan.
“Jangan ada interpretasi yang negatif ataupun yang berbeza-beza. Ini adalah maksud sebenar yang dibuat oleh pihak MARA sendiri melalui keputusan oleh mesyuarat ahli-ahli majlisnya,” katanya.
Beliau pada masa sama mengesahkan akan membentangkan draf pindaan akta itu kepada Jemaah Menteri dalam tempoh dua minggu lagi.
“Insya-Allah dalam tempoh dua minggu ini saya akan bentangkan sendiri. Sebenarnya saya telah mempengerusikan dua kali mesyuarat dengan ahli-ahli majlis, pegawai kanan dan juga panel peguam untuk melihat butirannya,” katanya.
Pada 3 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun MARA mengarahkan draf pindaan akta itu disiapkan dan diserahkan kepada beliau dalam tempoh tiga bulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial