Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sarawak Rancang Ambil Alih Lebih Banyak Entiti Persekutuan - Abang Johari

10/05/2026 02:15 PM

KUCHING, 10 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak merancang untuk mengambil alih lebih banyak entiti dan aset strategik kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh ekonomi negeri selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata langkah itu penting dalam memperluas penguasaan ekonomi negeri, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Sarawak, khususnya dalam sektor teknologi dan industri baharu.

Abang Johari berkata dalam tempoh enam tahun lepas, Sarawak telah mengambil alih beberapa aset dan entiti strategik daripada kerajaan pusat antaranya Empangan Bakun, Pelabuhan Bintulu serta MASwings Sdn Bhd.

Ad Banner
Ad Banner

“Kita (Sarawak) juga mewujudkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), kita ambil alih ekuiti dalam Affin Bank (menjadi pemegang saham terbesar Affin Bank Bhd) dan banyak lagi nak kita ambil alih.

“Kita luaskan ekonomi kita berdasarkan kepada PCDS… ini bermakna peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Abang Johari berkata transformasi ekonomi Sarawak kini sedang bergerak ke arah ekonomi berteknologi tinggi yang memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui, automasi, kecerdasan buatan (AI), digitalisasi serta industri semikonduktor.

Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya, Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir dan profesional dalam pelbagai bidang termasuk aeroangkasa, teknologi digital dan industri cip semikonduktor.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan