Daripada Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 10 Mei (Bernama) -- Bermula dengan simpanan hanya RM33 kira-kira 48 tahun lepas, seorang pesara polis membuktikan amalan menabung secara konsisten membuahkan hasil apabila terpilih menunaikan haji tahun ini.
Mohd Daud Hamdan, 72, berkata mula menyimpan di Tabung Haji sebaik menyertai polis pada 1978 walaupun gajinya semasa itu rendah dan mempunyai pelbagai komitmen bulanan yang perlu dilangsaikan.
“Masa itu baru kerja, gaji tak besar dan komitmen banyak, tapi pak cik fikir kalau tak mula sampai bila tidak akan ada.
“Simpan sikit-sikit, bulan demi bulan dan tahun demi tahun, Alhamdulillah, Allah bawa juga pakcik ke Makkah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Anak jati Jasin, Melaka itu berkata mendaftar haji pada 2004 selepas mendengar khutbah Jumaat ketika bertugas di Sabah yang mengingatkan kepentingan mendaftar lebih awal.
“Bila dengar khutbah itu, pak cik seperti tersentak. Lepas solat terus terfikir kalau terus tangguh (mendaftar haji) mungkin peluang ke Tanah Suci semakin jauh,” katanya.
Mohd Daud berkata walaupun menunggu kira-kira 22 tahun, dirinya tetap bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu Allah pada usia emas.
“Rasa macam tak percaya apabila terima surat tawaran. Usia sudah 72 tahun, ini rezeki dan jemputan paling bernilai. Kita merancang, menyimpan dan menunggu tapi akhirnya Allah yang menentukan masa terbaik,” katanya.
Di sebalik kegembiraan itu, Mohd Daud mengakui sebak apabila teringat isteri Maimon Mohamad yang meninggal dunia kira-kira empat tahun lepas.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata setiap kali melihat pasangan suami isteri menunaikan ibadah di Tanah Suci, kerinduan terhadap isteri pasti hadir kerana mereka pernah menyimpan impian untuk bersama-sama ke Makkah.
“Lebih 30 tahun bersama-sama dan sekarang pak cik datang seorang tetapi tetap rasa seperti dia teman dari jauh,” katanya.
Mohd Daud turut berkata turut menunaikan badal haji untuk arwah isterinya menggunakan simpanan sejak beberapa tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial