Daripada Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 10 Mei (Bernama) -- Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya tidak memandang ringan soal pematuhan miqat ketika keluar dari Makkah menuju lokasi seperti Taif sebelum Hari Wukuf kerana kesilapan memasuki semula Tanah Haram tanpa ihram boleh menyebabkan mereka dikenakan dam tambahan.
Pakar Rujuk Haji Lembaga Tabung Haji (TH) Dr Mohd Sirajuddin Siswadi Putera Mohamed Shith berkata isu itu melibatkan, terutamanya jemaah haji tamattu’ yang telah selesai menunaikan umrah dan berada dalam keadaan bebas ihram sebelum ibadah haji bermula.
Beliau berkata ramai jemaah memilih untuk melakukan ziarah ke Taif sebelum operasi Masyair (fasa kemuncak ibadat haji), namun mereka perlu memahami syarat yang ditetapkan syarak apabila ingin kembali semula ke Makkah.
“Jemaah haji tamattu’ yang keluar melebihi dua marhalah seperti ke Taif wajib berniat ihram semula sama ada ihram haji atau umrah di miqat apabila mahu masuk ke Makkah.
“Jika mereka melintasi miqat tanpa berniat ihram, maka mereka dikenakan dam isa’ah tertib dan taqdir, iaitu wajib menyembelih seekor kambing,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Mohd Sirajuddin Siswadi Putera berkata ketetapan itu tidak memberikan kesan kepada jemaah haji ifrad dan qiran kerana mereka masih berada dalam keadaan ihram sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata Resolusi Muzakarah Kebangsaan kali ke-36 Musim Haji 1441H/2019M turut menjelaskan bahawa jemaah haji tamattu’ yang pergi ke Taif sebelum Hari Wukuf perlu berniat ihram di Qarnul Manazil kerana masih mempunyai tujuan menunaikan haji ketika memasuki Makkah.
“Sekiranya mereka berniat haji di miqat, tiada dam tambahan dikenakan. Namun, jika mereka hanya berniat haji apabila tiba di Makkah sebelum bergerak ke Arafah, mereka dianggap telah melangkaui miqat tanpa ihram,” katanya.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan jemaah berkenaan menanggung dua dam, iaitu dam tamattu’ dan dam tambahan kerana kesalahan melanggar miqat.
Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan jemaah supaya sentiasa mematuhi peraturan pihak berkuasa Arab Saudi yang kini memperketat kawalan di pintu masuk Makkah bagi memastikan hanya pemegang visa haji yang dibenarkan berada di Tanah Suci sepanjang musim haji.
Beliau berkata faktor keselamatan dan kemaslahatan umum menjadi antara sebab program ziarah melepasi kawasan miqat lazimnya tidak digalakkan sebelum selesai urusan Masyair.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial