KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Komuniti MADANI perlu memainkan peranan aktif sebagai “mata, telinga, lidah, kaki dan tangan” kerajaan dalam memastikan setiap inisiatif dan bantuan sampai terus kepada golongan sasar pada peringkat akar umbi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata ahli komuniti yang dilantik memikul tanggungjawab besar untuk berada di lapangan bagi mendengar keluhan rakyat, serta menjelaskan dasar-dasar kerajaan negeri mahupun Persekutuan dengan cara yang paling mudah difahami.
Beliau berkata kementerian akan mewajibkan siri latihan intensif melalui kerjasama dengan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) bagi melengkapkan ahli komuniti dengan kemahiran menghasilkan grafik, dan teknik menjawab isu-isu tular dengan berani tanpa kegusaran.
“Antara aktiviti pertama yang kita selaraskan adalah turun ke pasar dan gerai-gerai. Saya mahu anda lihat sendiri masalah seperti ketersediaan minyak peket atau stok diesel di stesen minyak.
“Sampaikan maklumat itu supaya intervensi segera dapat dilakukan setiap minggu,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan watikah lantikan Komuniti MADANI Kuala Lumpur dan Selangor, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan ahli komuniti supaya sentiasa berwaspada terhadap taktik ejen provokatif dalam media sosial yang sengaja memainkan sentimen agama dan kaum melalui akaun palsu.
Sebanyak 234 Ketua Komuniti MADANI dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menerima watikah pelantikan bagi tahun 2026/2027 dalam usaha memperkasakan jaringan komunikasi komuniti di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Sementara itu, mengulas mengenai Komuniti MADANI, Amirudin menekankan kepentingan respons pantas dalam tempoh 24 jam atau sekurang-kurangnya empat jam selepas sesuatu isu dibangkitkan bagi mengelakkan kekeliruan berpanjangan dalam kalangan masyarakat.
“Tugas kita sekarang adalah untuk melawan apa yang disalah tafsir di luar sana.
“Kuasai peralatan, kuasai kandungan dan pastikan jajaran kita bergerak seiring sebagai satu unit whole-of-government (menyeluruh kerajaan), whole-of-society (menyeluruh masyarakat) untuk mempertahankan kebenaran tentang sesuatu fakta,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial