Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Isu Kesesakan Laluan Lori Di Linkedua Akan Dibawa Ke KDN - Loke

11/05/2026 06:46 PM

JOHOR BAHRU, 11 Mei (Bernama) -- Isu kesesakan membabitkan laluan lori di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang dikatakan berpunca daripada pelaksanaan pemeriksaan imbasan wajib ke atas semua kenderaan berat akan dibawa kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN). 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata hal ehwal KSAB termasuk operasi mesin pengimbas adalah di bawah bidang kuasa Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang berada di bawah kementerian itu. 

“Scanner (pengimbas) itu di bawah AKPS dan merupakan prosedur operasi standard (SOP) dahulu, dan kini diambil alih oleh AKPS. Jadi ini sesuatu yang memang kita sentiasa beri perhatian. Kementerian Pengangkutan akan memberikan maklum balas kepada KDN,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) 2026 Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Katanya, isu kesesakan di Tambak Johor dan KSAB sememangnya menjadi perhatian utama kerajaan dan satu mekanisme khas telah diwujudkan melalui Jawatankuasa Kabinet Kesesakan Tambak Johor bagi menangani isu tersebut secara menyeluruh.

“Semua isu operasi akan dibincangkan, dilaksanakan dan diuruskan melalui platform ini (jawatankuasa),” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Sebelum ini, media melaporkan pemandu lori yang ingin memasuki Singapura mengalami kelewatan sehingga empat jam di Linkedua akibat kesesakan di laluan kenderaan berat yang dikatakan berlaku sejak pertengahan Februari lalu susulan pelaksanaan pemeriksaan imbasan wajib ke atas semua kenderaan berat.

Pemandu lori menyifatkan langkah tersebut sebagai penyelesaian sementara, dengan sebahagian mereka perlu berjalan kira-kira 500 meter selepas meletakkan kenderaan untuk menghantar dokumen di KSAB sebelum kembali semula ke lori masing-masing bagi melalui proses imbasan.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan