Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Nahas Lebuh Raya MEX: Pemandu e-panggilan Layak Terima Faedah PERKESO

12/05/2026 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Pemandu e-panggilan yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan warga Bangladesh di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) di sini pada 23 April lepas layak menerima beberapa faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

PERKESO dalam kenyataan hari ini memaklumkan walaupun caruman LINDUNG Kendiri pemandu berkenaan, Jailani Sapiih, 41, telah tamat sebelum kejadian, beliau masih dilindungi di bawah Akta Pekerja Gig (Akta 872) kerana sedang menjalankan aktiviti e-panggilan ketika insiden.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata Akta 872 yang mula berkuat kuasa pada 31 Mac lepas memperuntukkan setiap pekerja gig dilindungi melalui mekanisme caruman berasaskan transaksi platform.

Ad Banner
Ad Banner

“Dalam kes ini, PERKESO telah memproses Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) berdasarkan tempoh cuti sakit selama 41 hari, dari 23 April hingga 2 Jun berjumlah RM1,230.

“Selain itu, bantuan peralatan pemulihan turut disalurkan termasuk kerusi roda melalui Skim LINDUNG Kendiri bagi proses pemulihan harian mangsa akibat kecederaan pada bahagian kepala, kaki dan dada,” katanya.

Mohammed Azman berkata perlindungan itu mencerminkan prinsip utama keselamatan sosial di bawah Akta 872 kerana matlamat utamanya adalah untuk melindungi nyawa dan memperuntukkan gantian pendapatan sekiranya ditimpa bencana sewaktu bekerja.

Ad Banner
Ad Banner

Dalam pada itu, beliau berkata penyedia platform perkhidmatan gig perlu melengkapkan dua proses utama integrasi sistem dengan PERKESO, melibatkan pendaftaran maklumat pekerja dan caruman automatik berkadar 1.25 peratus.

Mohammed Azman berkata perangkaan PERKESO setakat semalam menunjukkan tujuh platform penyedia perkhidmatan gig telah melengkapkan proses pendaftaran.

“Tujuh penyedia platform ini meliputi Airasia Ride Sdn. Bhd., Kiddocare, Eternal Meteor Sdn Bhd (GOGET), ShopeeFood Malaysia, Troopers Innovation Sdn Bhd, Fastgig Sdn Bhd dan Delivery Hero Malaysia (Foodpanda) Sdn Bhd.

“Hanya Fastgig Sdn Bhd telah melengkapkan kedua-dua proses, sekali gus membolehkan pekerja gig di platform itu mula mencarum PERKESO secara automatik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan