PUTRAJAYA, 12 Mei (Bernama) -- Peserta Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) perlu memenuhi syarat kehadiran minimum 80 peratus sebelum dibenarkan menduduki penilaian pentauliahan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Program Pegawai Integriti Bertauliah (JTPPIB) Datuk Indera Junipah Wandi.
Junipah yang juga Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pematuhan syarat itu penting untuk memastikan peserta menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang program serta benar-benar bersedia menggalas tanggungjawab sebagai pegawai integriti di organisasi masing-masing.
Pada masa yang sama, katanya, ketua jabatan turut bertanggungjawab memastikan hanya pegawai yang bebas daripada rekod tatatertib serta mempunyai tahap integriti baik, dicalonkan menyertai Program CeIO selaras dengan syarat permohonan.
"Penegasan ini penting bagi memastikan imej, kredibiliti dan profesionalisme CeIO terus terpelihara memandangkan mereka merupakan individu yang menjadi rujukan utama organisasi dalam aspek integriti, pematuhan dan tadbir urus," katanya dalam kenyataan hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat JTPPIB, di sini hari ini.
Mesyuarat yang diurussetiakan oleh Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) itu turut membincangkan perkembangan modul Program CeIO yang telah ditambah baik dan diluluskan oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB).
Pada mesyuarat itu, Junipah turut merakamkan penghargaan kepada CIDC atas kejayaan penganjuran Majlis Konvokesyen CeIO ke-12 yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) pada 14 April lepas.
Sebanyak 486 pegawai daripada sektor awam, syarikat berkepentingan kerajaan (SBK) dan swasta berjaya ditauliahkan menerusi pelaksanaan 10 siri Program CeIO secara terbuka dan dalaman.
Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melalui CIDC dalam melahirkan pegawai integriti yang kompeten serta berupaya memperkukuh sistem tadbir urus organisasi secara lebih berkesan.
Dalam memastikan kelangsungan program, CIDC turut diarahkan supaya melaksanakan Program CeIO secara lebih berhemat dan strategik dengan mengambil kira kekangan bajet semasa, langkah penjimatan serta krisis tenaga global yang memberikan kesan terhadap pengurusan kewangan dan operasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial