Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kementerian Perpaduan Angkat Agenda Pembinaan Negara Bangsa Sebagai Fokus Utama

12/05/2026 08:22 PM

ARAU, 12 Mei (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara mengangkat agenda pembinaan Negara Bangsa sebagai fokus utama bagi jangka pendek dan panjang mulai tahun ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata Negara Bangsa amat penting bagi Malaysia pada masa kini kerana ia menjadi asas kepada keamanan, perpaduan, kestabilan dan keharmonian sebuah negara yang majmuk.  

“Kementerian melalui beberapa siri libat urus bersama pakar akademik dan sejarah telah menetapkan definisi Negara Bangsa, iaitu negara berdaulat yang warganya memiliki identiti nasional dan berkongsi nilai sepunya berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Aaron berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Sejarah Nasional 2026: Bersama Membina Negara Bangsa di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini, yang disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Aaron berkata bagi memastikan aspirasi Negara Bangsa itu benar-benar sampai kepada rakyat dan diterima semua pihak, kementerian itu akan terus melaksanakan beberapa sesi libat urus, perbincangan meja bulat, sesi dialog awam serta penganjuran Persidangan Negara Bangsa.

Ad Banner
Ad Banner

“... penganjuran persidangan ini akhirnya akan menghasilkan satu Rangka Tindakan Negara Bangsa untuk rujukan semua pihak, terutamanya agensi kerajaan dalam membuat dasar atau inisiatif baharu,” katanya.

Aaron berkata Malaysia ialah sebuah negara yang berdiri megah atas asas kepelbagaian dengan lebih 200 etnik, kaya dengan identiti, bahasa, budaya, keunikan dalam makanan serta tarian dan seni muzik.

Beliau berkata kepelbagaian itu bukan sekadar realiti sosial malah menjadi kekuatan utama yang membentuk wajah Malaysia sebagai sebuah negara yang unik di persada dunia namun mengurus kepelbagaian berkenaan bukan sesuatu yang mudah.

Menurut Aaron, ia memerlukan kefahaman, rasa hormat serta penerimaan berterusan daripada semua pihak untuk memastikan keharmonian terus terpelihara. 

“Dalam realiti global yang semakin mencabar hari ini yang melibatkan perbezaan ideologi, pengaruh media sosial, politik identiti serta tekanan globalisasi, pembinaan negara bangsa memainkan peranan yang amat penting. Ia menjadi asas dalam menyatukan rakyat melalui perkongsian identiti nasional, tanpa menafikan kepelbagaian kaum, agama dan budaya,” katanya.

Konvensyen yang berlangsung dua hari bermula hari ini itu menghimpunkan pengkaji dan pengamal sejarah untuk berkongsi penemuan, pandangan serta wacana ilmiah yang dapat memperkayakan naratif sejarah negara.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan