Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penganjur Acara Larian Perlu Perkukuh Keselamatan, Elak Insiden Langgar Lari

13/05/2026 05:04 PM

KUCHING, 13 Mei (Bernama) -- Semua penganjur acara larian perlu mengambil pengajaran dan memperkukuh aspek keselamatan peserta, susulan insiden langgar lari dalam penganjuran sebuah acara marathon baru-baru ini. 

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penyediaan kawalan keselamatan mencukupi termasuk sukarelawan, petugas keselamatan dan pengurusan laluan perlumbaan lebih teratur amat penting bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Kejadian seperti pelari dilanggar memang kita tidak mahu berlaku.

Ad Banner
Ad Banner

“Sebab itu perlu ada jumlah sukarelawan dan petugas keselamatan mencukupi untuk menjaga keselamatan peserta terutamanya apabila jalan raya mulai sibuk,” katanya pada sidang media Kuching Marathon 2026 di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah keselamatan yang perlu diberi perhatian susulan insiden langgar lari yang didakwa berlaku pada acara larian Borneo International Marathon 2026 di Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad lepas.

Media melaporkan kemalangan melibatkan seorang peserta larian dan petugas RELA dengan mangsa menerima rawatan pantas daripada pasukan perubatan acara sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut selain penganjur segera memaklumkan ahli keluarga mereka.

Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, Abdul Karim berkata penganjur acara perlu sentiasa menitikberatkan keselesaan peserta termasuk penyediaan stesen minuman mencukupi dan tersusun di sepanjang laluan perlumbaan.

“Pelari juga perlu berhati-hati. Jangan berlari di tengah jalan dan apabila tiba di persimpangan, perlahankan sedikit (larian) serta lihat ke kiri dan kanan jalan,” katanya.

Berhubung Kuching Marathon 2026, Abdul Karim berkata penganjuran yang memasuki edisi ke-11 akan berlangsung pada 27 Sept dengan sasaran penyertaan 16,000 pelari dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata setakat ini, kira-kira 8,000 peserta telah mendaftar untuk menyertai acara itu.

-- BERNAMA


 
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan