Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bapa Reda Hilang Satu-satunya Anak Dalam Tragedi Lemas

13/05/2026 06:37 PM

KUALA TERENGGANU, 13 Mei (Bernama) -- Tiada kata dapat menggambarkan perasaan pilu seorang bapa apabila kehilangan satu-satunya cahaya mata dalam kejadian lemas di Sungai Jeram Hulu, dekat sini semalam.

Azman Wahab, 43, berkata kali terakhir beliau bertemu dengan Allahyarham Nur Shahila Shahirah, 12, ialah dua minggu lepas di sebuah surau di Kampung Jeram, Manir untuk memberi wang saku.

Azman yang bekerja sebagai tukang rumah berkata setelah berpisah dengan bekas isteri Suria Sulong, 34, enam tahun lepas, beliau melupakan hasrat berkahwin lagi kerana mahu menanggung Nur Shahila Shahirah dan bekas anak tiri, Allahyarham Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, yang turut terkorban dalam tragedi tersebut.

Ad Banner
Ad Banner

"Walaupun kami sudah berpisah, saya tetap menanggung perbelanjaan Shahila dan kakaknya yang sudah saya anggap seperti anak sendiri. Lagipun bekas isteri orang kurang upaya (OKU) lembam dan tidak bekerja.

"Dua minggu lepas saya ada jumpa arwah di surau di Kampung Jeram untuk beri duit belanja. Masa itu dia beria-ia minta maaf dan kelakuannya pun nampak lain sedikit. Tetapi saya tak syak apa-apa dan anggap perubahan biasa budak perempuan yang meningkat remaja," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian dua beradik berkenaan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram Manir, dekat sini hari ini.

Lebih 50 orang termasuk sanak saudara dan penduduk kampung hadir pada pengebumian dua beradik yang disemadikan dalam satu liang lahad itu.

Ad Banner
Ad Banner

Azman berkata bagaimanapun dia berasa agak terkilan kerana gagal menunaikan permintaan arwah yang meminta wang untuk membeli barang keperluan diri.

Beliau berkata walaupun tidak mampu memberikan kemewahan, anak perempuannya itu tidak pernah merungut dan memahami keadaan kewangannya yang tidak menentu.

"Minggu lepas arwah telefon minta duit RM50 untuk beli barang. Tetapi saya kata abah belum dapat gaji dan tunggulah Khamis ini (esok). 

"Tetapi tak sangka sungguh Nur Shahila Shahirah pergi dulu. Jadi saya rasa sedikit terkilan kerana tak sempat tunaikan permintaan arwah. Namun saya reda dengan takdir dan berdoa agar Allah mengampunkan segala dosa kedua-duanya," katanya.

Sementara itu nenek kepada dua beradik mangsa lemas, Esah Salleh, 76, berkata suasana rumah bertukar sunyi sepi dengan ketiadaan dua cucunya itu.

Esah berkata lazimnya setiap hari dia akan menghantar dua beradik itu ke sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah dengan menaiki motosikal.

"Alhamdulillah Suria (ibu mangsa) dah faham anaknya sudah tiada. Semalam dia menangis tak henti. Baru sehari mereka tiada, rumah ini dah sunyi sepi. Dua beradik itu dah tinggal dengan makcik sejak lahir.

"Rutin setiap pagi pun makcik yang hantar mereka ke sekolah. Memang tak boleh tengok motosikal tu...sedih, sebak semua bercampur," katanya.

Semalam Bernama melaporkan dua beradik perempuan ditemukan lemas di Sungai Jeram Hulu, dekat sini ketika mandi-manda bersama dua lagi rakan kira-kira 3 petang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan