KUALA TERENGGANU, 12 Mei (Bernama) -- Dua beradik perempuan yang hilang ketika mandi-manda di Sungai Jeram Hulu di sini, ditemukan lemas kira-kira 6 petang tadi.
Mayat Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, dan Nur Shakila Shahirah Azman, 12, dari Kampung Jeram ditemukan di kedalaman empat meter, kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Baharum Hasim berkata operasi melibatkan 14 petugas, termasuk pegawai serta anggota PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan BBP Kuala Nerus.
"Usaha mencari dan menyelamat (SAR) mengambil masa lebih kurang tiga jam sebelum mangsa ditemukan memandangkan keadaan arus deras dan air pasang. Kedua-dua mangsa ditemui berdekatan di dasar sungai.
"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) untuk bedah siasat dan tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, nenek mangsa Esah Salleh, 76, dari Kampung Jeram, berkata walaupun sedih, keluarganya tetap bersyukur kerana mayat kedua-dua cucunya itu segera ditemukan.
Esah berkata ibu kepada mangsa, Suria Sulong, 34, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori lembam serta ibu tunggal, masih trauma dan belum menyedari pemergian dua anaknya itu.
"Anak perempuan dan dua cucu memang tinggal bersama saya sejak kecil. Nur Afiqah Shahirah juga OKU lembam dan belajar di kelas khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Rahman Limbong.
"Tadi polis panggil Suria (ibu mangsa) untuk pengecaman mayat, tetapi dia OKU lembam. Jadi dia masih terpinga-pinga dan tanya saya siapa yang meninggal dunia. Memang ambil masa untuk terangkan pada dia," katanya sebak sambil menganggap pemergian dua cucunya itu sebagai ujian dalam hidup.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial