Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ANGKASA Terus Perkasa Koperasi Sebagai Kuasa Ekonomi Rakyat

13/05/2026 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan terus memacu gerakan koperasi negara dalam sektor strategik dan berimpak tinggi bagi menjadikannya antara kuasa ekonomi rakyat.

Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata sektor berkenaan merangkumi keterjaminan makanan, teknologi digital, tenaga hijau, logistik, pendidikan, penjagaan kesihatan, pelancongan serta komuniti.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan komitmen ANGKASA untuk terus memperkukuh daya saing koperasi agar tidak hanya dilihat sebagai pelengkap kepada ekonomi negara, sebaliknya sebagai pemain utama dalam membentuk ekonomi rakyat Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner

“Penubuhan ANGKASA merupakan simbol penyatuan gerakan koperasi negara yang dibina atas semangat kebersamaan, kesejahteraan dan pembangunan ekonomi rakyat secara inklusif serta mampan,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-55 penubuhan ANGKASA yang berlangsung di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, semalam.

Mengulas sambutan berkenaan, beliau berkata ia menjadi simbolik kepada perjalanan panjang ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi negara sejak penubuhannya pada 12 Mei 1971 hasil resolusi Kongres Kerjasama Malaysia Kedua yang memuktamadkan penubuhan sebuah organisasi induk bagi menyatukan gerakan koperasi di seluruh negara.

Abdul Fattah berkata sejarah gerakan koperasi negara bermula sejak 1922 apabila Undang-Undang Koperasi pertama diperkenalkan di Tanah Melayu, sebelum tertubuhnya ANGKASA sebagai institusi yang menyelaras serta memperkukuh keseluruhan ekosistem koperasi negara.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata pengiktirafan rasmi kerajaan terhadap ANGKASA pada 1996 menerusi pewartaan sebagai badan yang mewakili gerakan koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah memperkukuh kedudukannya dalam pembangunan dasar, pengukuhan jaringan antarabangsa serta pembangunan perniagaan koperasi.

“Pengiktirafan itu turut membuka ruang lebih luas kepada ANGKASA untuk berkembang di peringkat global,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata ANGKASA terus mengorak langkah ke peringkat antarabangsa melalui penglibatan aktif dalam pelbagai organisasi koperasi termasuk Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) dan Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA).

Majlis sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Serantau ICA Asia Pasifik, Balasubramaniam Iyer, sekali gus mencerminkan hubungan erat serta kerjasama berterusan antara ANGKASA dan gerakan koperasi antarabangsa dalam memperkasa pembangunan koperasi di rantau Asia Pasifik.

Sempena sambutan ulang tahun ke-55 itu, ANGKASA turut memperkenalkan Buku Nilai Teras ANGKASA sebagai panduan budaya kerja dan etika organisasi kepada seluruh warganya.

Buku tersebut mengangkat nilai teras SADIK, AMANAH dan TELUS sebagai tunjang integriti ANGKASA, selain nilai Fatanah, Adab, Integriti, Sinergi, Cemerlang, Lestari, Harmoni dan Inovasi sebagai pemacu kecemerlangan organisasi.

Sambutan ulang tahun ke-55 itu turut menjadi medan refleksi terhadap pencapaian ANGKASA, selain pemangkin kepada usaha memperkukuh perpaduan, inovasi dan kelestarian gerakan koperasi negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan