| BERITA TERGEMPAR | Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | |
IPOH, 14 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Perak untuk mengadakan sambutan Hari Guru di sekolah masing-masing, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata hal ini kerana sambutan berkenaan merupakan platform kepada pelajar serta ibu bapa menzahirkan penghargaan kepada guru-guru yang telah banyak berjasa dalam bidang pendidikan.
“Lazimnya, sambutan itu diraikan secara sederhana apabila pelajar memberikan bunga, hadiah dan cenderamata selain mengadakan persembahan khas sebagai tanda penghargaan atas jasa serta pengorbanan guru mereka.
“Di Perak, terdapat 28 buah SABK dan semua sekolah terbabit boleh meneruskan sambutan Hari Guru seperti biasa kerana kerajaan negeri tidak akan menghalangnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Peringkat Antarabangsa (InERIC) di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), di sini hari ini.
Pada 12 Mei lepas, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak membenarkan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah pada tahun ini bagi menggalakkan budaya perbelanjaan berhemat selain meminimumkan penggunaan bahan tenaga dalam menghadapi situasi geopolitik semasa.
Menyentuh mengenai InERIC, Saarani berkata program kali keempat dianjurkan itu merupakan platform yang menghimpunkan penyelidik, pendidik, pelajar, institusi pendidikan serta pemain industri dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Beliau berkata melalui program berkenaan, para peserta bukan sahaja dapat berkongsi idea, malah dapat menghasilkan idea kreatif serta inovasi berimpak tinggi yang mampu menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Antara yang terlibat ialah Universiti Malaysia Sabah (UMS); Thaksin University, Thailand; Politeknik Negeri Jakarta, Indonesia; dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei.
“Kita harapkan program ini membuka peluang kepada para peserta untuk membina jaringan profesional, memperluas kolaborasi strategik dan memperkukuh budaya ilmu dalam era pendidikan digital,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial