Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Misi Global Sumud Flotilla Masuki Fasa Akhir, 54 Kapal Belayar Ke Gaza

14/05/2026 11:08 PM

SEPANG, 14 Mei (Bernama) -- Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2026 memasuki fasa akhir apabila sebanyak 54 kapal mula berlepas dari Pelabuhan Marmaris, Turkiye menuju ke Gaza kira-kira 7.30 malam waktu Malaysia hari ini.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata pelayaran itu melibatkan hampir 500 peserta antarabangsa daripada 45 negara yang digerakkan pelbagai kumpulan aktivis kemanusiaan dunia.

Beliau berkata misi berkenaan mendapat sokongan penuh, khususnya daripada Kerajaan Malaysia dengan dukungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selain Turkiye, Sepanyol dan Brazil.

Ad Banner
Ad Banner

“Pelayaran fasa akhir ini juga berlaku sehari sebelum peristiwa Nakba, iaitu 15 Mei 1948, 78 tahun lepas,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Sani Araby berkata SNCC turut mengesahkan lebih 40 peserta daripada enam negara Nusantara, iaitu Malaysia, Indonesia, Pakistan, India, Sri Lanka dan Filipina menyertai pelayaran berkenaan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 29 peserta Malaysia berumur antara 22 tahun hingga 58 tahun terdiri daripada tenaga profesional pelbagai bidang meneruskan pelayaran dari Marmaris dengan peranan masing-masing termasuk kapten, pembantu kapten, kru, pegawai perubatan dan juruteknik.

Ad Banner
Ad Banner

“Lima kapal daripada Freedom Flotilla Coalition (FFC) turut bergabung dalam misi itu,” katanya.

Sani Araby berkata tiga peserta Malaysia, iaitu Mohamad Aqil Asmadi, Mohamad Zurini Karim dan Hajah Sereba Mustafa Al-Bakri telah disusun semula peranan mereka dan akan kembali ke tanah air bagi memperkukuh strategi operasi lapangan SNCC.

Beliau juga berkata SNCC telah mengubah radius garisan zon kuning dan merah berdasarkan analisis risiko keselamatan terkini di kawasan operasi.

“Berdasarkan penilaian semasa, laluan dari Pelabuhan Marmaris hingga 30 batu nautika diklasifikasikan sebagai Zon Hijau (Green Zone) manakala kawasan antara 30 batu nautika hingga 150 batu nautika diletakkan di bawah Zon Kuning (Yellow Zone).

“Seterusnya, laluan bermula 150 batu nautika sehingga memasuki perairan Gaza kini dikategorikan sebagai Zon Merah (Red Zone), yang membawa tahap risiko keselamatan paling kritikal sepanjang misi pelayaran ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan