SEPANG, 14 Mei (Bernama) -- Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2026 yang membawa hampir 500 aktivis kemanusiaan antarabangsa menuju ke perairan Gaza kini memasuki fasa paling kritikal apabila kapal-kapal misi itu dijangka berdepan pelbagai risiko, termasuk pintasan dalam tempoh 28 hingga 30 jam akan datang.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata tempoh itu menjadi fasa paling mencabar selepas kapal-kapal misi berkenaan memasuki kawasan Zon Kuning 3 sejurus meninggalkan Pelabuhan Marmaris, Turkiye.
Sani Araby berkata perubahan corak operasi tahun ini menyaksikan zon kuning diletakkan lebih awal berbanding tahun lepas susulan risiko pintasan oleh rejim Zionis.
Beliau berkata jarak perjalanan ke Gaza dianggarkan mengambil masa kurang daripada empat hari sekiranya tiada sebarang gangguan berlaku.
“Keluar sahaja daripada Pelabuhan Marmaris (Turkiye), mereka (kapal) sudah pun masuk Zon Kuning 3. Jadi, sekarang ini kami berada dalam tempoh berjaga-jaga sekiranya apa-apa berlaku,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
-Beliau berkata berdasarkan kelajuan semasa kira-kira 12 batu nautika, flotila berkenaan dijangka menghampiri zon seterusnya menjelang petang esok (15 Mei).
Dalam perkembangan sama, Sani Araby berkata satu pelan tindakan strategik berskala besar akan diumumkan esok melibatkan mobilisasi rakyat, advokasi Ahli Parlimen, pengukuhan tekanan diplomatik antarabangsa, gerakan solidariti media serta tindakan perundangan global bagi memastikan isu kepungan dan pencabulan hak kemanusiaan di Gaza dan Palestin dibawa ke muka pengadilan.
Beliau berkata tindakan itu adalah kesinambungan kepada Deklarasi Brussels yang disertai beberapa pihak termasuk Kaukus Palestin Parlimen Malaysia.
Sani Araby turut menyeru rakyat Malaysia mempergiat usaha menyebarkan fakta dan sejarah sahih berkaitan Palestin serta terus melaksanakan solat hajat, Qunut Nazilah dan munajat demi keselamatan delegasi misi berkenaan.
“SNCC mengajak seluruh rakyat Malaysia bersatu hati untuk melakukan tindakan menggandakan usaha menyebarkan fakta dan sejarah yang sahih, menangkis propaganda jahat rejim serta meningkatkan kesedaran awam melalui semua platform media,” katanya.
Sebarang pertanyaan rasmi berkaitan misi dan Palestin boleh dilayari di portal rasmi tanya.sumudnusantara.com.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial