Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPWKM Komited Perkasa Institusi Keluarga Demi Kesejahteraan Kanak-kanak

15/05/2026 12:08 PM

PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited memperkukuh institusi keluarga menerusi pendekatan inklusif dan pendidikan kekeluargaan bagi memastikan kesejahteraan kanak-kanak terus dipelihara.

KPWKM dalam kenyataan sempena Hari Keluarga Antarabangsa 2026 hari ini memaklumkan tema sambutan tahun ini Families, Inequalities and Child Wellbeing menekankan kepentingan mengurangkan jurang sosial, ekonomi dan akses kepada perkhidmatan asas yang boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak.

“Keluarga yang stabil dan harmoni merupakan asas penting kepada pembangunan negara yang mampan selain mampu melahirkan generasi sihat, berdaya tahan dan mempunyai nilai sosial kukuh,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner

Selaras dengan aspirasi itu, KPWKM menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi memperkukuh daya tahan keluarga, meningkatkan kesejahteraan psikososial masyarakat serta memperluas akses kepada pendidikan kekeluargaan dan perkhidmatan sokongan komuniti.

“Antara fokus utama kementerian ialah memperkasakan pendidikan kekeluargaan dan perkhidmatan sokongan keluarga selaras dengan Dasar KASIH Keluarga Negara yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari 2026.

“Pendekatan pengukuhan keluarga diterapkan melalui pengenalan nilai KASIH, iaitu kasih sayang, akhlak, sihat dan selamat, berilmu dan harmoni,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner

KPWKM memaklumkan akan berusaha memantapkan pelaksanaan program pendidikan keluarga seperti Kursus Perkahwinan SMARTSTART, Program Keibubapaan Positif, Program Pembangunan Remaja dan advokasi nilai KASIH yang menekankan komunikasi berkesan, pengukuhan hubungan kekeluargaan, kesihatan reproduktif serta pembangunan emosi anak dalam kalangan ibu dan bapa.

“Selain itu, turut diperluas ialah akses masyarakat kepada pendidikan reproduktif dan perkhidmatan sokongan psikososial remaja melalui program remaja KafeTEEN secara turun padang melalui kerjasama strategik agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan komuniti setempat,” menurut kenyataan itu.

KPWKM memaklumkan beberapa seminar penyelidikan keluarga turut akan dianjurkan, khususnya bagi mengupas tahap kesejahteraan keluarga terkini berdasarkan Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2025.

Melalui seminar itu, pelbagai perkongsian inisiatif berasaskan bukti kajian akan dibincangkan bagi memandu polisi dan program yang memberi impak kesejahteraan kepada keluarga.

Hari Keluarga Antarabangsa ialah platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa institusi keluarga asas kepada pembangunan negara yang mampan, harmoni dan sejahtera. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan